Keberadaan diva antarabangsa, Celine Dion, di Paris sejak beberapa hari lalu menguatkan spekulasi kemunculannya pada upacara pembukaan Sukan Olimpik 2024 yang dijadualkan pada pagi Sabtu ini.
Portal media TMZ melaporkan, penyanyi berusia 56 tahun itu mendaftar masuk di hotel mewah Royal Monceau di ibu negara Perancis itu Isnin lalu.
Lebih membuatkan ramai teruja apabila desas-desus yang bertebaran turut menyebut sebanyak AS$2 juta (RM9.34 juta) diberikan kepadanya untuk membawakan satu lagu pada temasya sukan terbesar dunia itu.
TMZ turut memaklumkan bahawa penyanyi yang terkenal dengan lagu My Heart Will Go On itu kini bertambah sihat selepas berjuang melawan penyakit sindrom orang kaku atau stiff person syndrome (SPS).
Sebelum ini, Celine pernah memaklumkan bahawa dia memasang impian untuk kembali ke kota cinta itu bagi melihat semula Menara Eiffel.
Penyanyi yang berasal dari Kanada ini adalah antara penyanyi yang mahir berbahasa Perancis paling terkenal sepanjang zaman namun tidak dapat membuat persembahan selama bertahun-tahun berikutan menghidap penyakit autoimun.
Celine terpaksa melupakan seketika kerjaya nyanyiannya pada 2022 selepas didapati menghidap penyakit jarang berlaku Sindrom Stiff Person yang turut didedahkan dalam dokumentari videonya I Am: Celine Dion.
Namanya juga bukan asing dengan temasya Olimpik apabila sebelum ini menyanyikan lagu The Power Of The Dream pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 yang disaksikan 3.5 bilion penonton seluruh dunia.
Sementara itu, seorang lagi penyanyi terkenal, Lady Gaga, juga turut dilaporkan bakal sepentas dengan Celine apabila dilaporkan menginap di hotel Royal Monceau.
Kehadiran dua bintang ternama ini dijangka akan menambah lagi kehangatan dan kemeriahan upacara pembukaan Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Para peminat dan penonton seluruh dunia pastinya tidak sabar menantikan persembahan hebat daripada dua penyanyi berbakat ini. Dengan Celine Dion yang kembali sihat dan Lady Gaga yang sentiasa memberikan persembahan memukau, upacara pembukaan ini dijangka menjadi salah satu yang paling diingati dalam sejarah Sukan Olimpik.