Pemenang Creator Of The Year di anugerah TikTok Awards Malaysia 2024, Che Sayang Kitchen memberitahu dia mengidolakan pempengaruh media sosial terkenal, Khairul Aming sebagai pencipta konten.
Bukan tiru, tapi inspirasi
Menurut individu di sebalik pemilik akaun Che Sayang Kitchen iaitu Qayum, dia menegaskan tidak pernah meniru konten yang dihasilkan Aming, tetapi mengambil inspirasi dan idea daripadanya.
Saya menjadikan Khairul Aming sebagai idola, saya ambil inspirasi banyak dari video yang dia hasilkan. Saya tidak meniru, tetapi mengambil inspirasi sahaja.
Dalam dunia mencipta konten, sebenarnya semua pencipta konten saling berkongsi. Saya sendiri pernah beritahu kepada Khairul Aming yang saya ambil inspirasi daripadanya.
Saya masih belajar untuk menjadi pencipta konten, sudah pasti untuk berjaya kita akan ambil contoh dan belajar daripada orang yang sudah berjaya seperti Khairul Aming.
Dalam pada itu, Qayum akui sebak apabila berjaya memenangi kategori tersebut sekali gus menewaskan pencabar lain seperti Sofyank dan Ryan Bakery.
Saya amat sebak apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Creator Of The Year. Jika dilihat saingan dengan calon sangat hebat. Namun saya pernah berpesan dengan pasukan saya, daripada mengalah lebih baik bekerja keras hasilkan konten yang menarik.
Mengatasi pencipta konten yang popular seperti Sofyank dan Ryan Bakery sesuatu hal yang mustahil, tetapi Allah telah aturkan segalanya.
Disoal mengenai pemilihan nama Che Sayang Kitchen, Qayum berkata dia terinspirasi daripada nama akaun TikTok Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah iaitu Che Minah Sayang.
Mengenai nama Che Sayang Kitchen, saya sebenarnya mahu bayangkan watak seorang opah (nenek) yang pandai masak dan dalam masa sama terpengaruh dengan nama Che Minah Sayang iaitu nama TikTok Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah.