Usahawan kosmetik dan penyanyi, Cheta Potpet mengambil pengajaran daripada insiden yang terjadi kepada rakannya yang juga usahawan, Kak KM selepas rumah dirompak pada 3 Mac lalu.
‘Tahu limit’
Menurut Cheta atau nama sebenarnya Rozita Baharom, Kak KM ada menasihatinya untuk berhati-hati dan tidak terlalu menayang kekayaan terutama dalam media sosial.
Baru-baru ini saya ada jumpa Kak KM, dia nasihat untuk sentiasa berhati-hati. Saya percaya insiden yang berlalu pada Kak KM jadi pengajaran untuk semua orang.
Kak KM kata dia masih trauma dan takut selepas dirompak itu. Berjuta pula yang dirompak.
Ada perkara yang boleh dikongsikan di media sosial ada yang tidak. Sebab kita tidak tahu penjahat ini mahukan apa daripada kita.
Apa yang ingin dikongsikan perlu ada limit dan had. Macam saya jarang kongsi fasal keluarga.
Cheta berkata demikian ketika ditemui pada majlis Iftar Raya 2024 bersama artis Rusa Music dan MVM Production di Geno Hotel, Subang Jaya, baru-baru ini.
Melanjutkan bicara, Cheta bagaimanapun berkata tidak salah untuk menunjukkan kejayaan bisnes yang diusahakan, namun tahu hadnya.
Pada pandangan saya setiap usahawan memang akan tunjuk kekayaan apa yang mereka ada, hasil usaha mereka. Kalau setiap hari kata bisnes laku, tapi tak tunjuk nanti orang berkata juga.
Namun itu bergantung kepada setiap individu, ada yang suka tunjuk dan ada yang tidak. Macam saya tunjuk sikit-sikit sahaja. Kalau macam Kak KM ada cara dia sendiri.
Apabila bercerita tentang risiko, perasaan takut itu memang ada. Sebab usahawan ini sering buat live di media sosial di mana-mana.
Dalam perkembangan lain, Cheta yang juga ‘founder’ produk kecantikan jenama Secret Desire berkata dia dalam perancangan untuk menerbitkan lagu baharu.
Terdahulu, kediaman Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli dimasuki perompak ketika dia sekeluarga menghadiri konsert Rock Legenda Berzaman.
Hasil pemeriksaan mendapati sebuah peti besi mengandungi jongkong emas dan wang bernilai RM3 juta dilarikan bersama beberapa beg tangan pelbagai jenama serta barangan kemas.
Anggaran kerugian yang dilaporkan berjumlah RM3.5 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.