From zero to hero! Itulah ungkapan yang paling sesuai menggambarkan kejayaan Fahriz Ariff, Syamira Nazir dan Asrina Mohd yang akhirnya berjaya mencapai impian dan cita-cita mereka untuk bergelar penyampai berita Buletin TV9.
Syamira Nazir
Ketika ditemui , pemilik nama Nor Syamira Izzati binti Mohd Nazir atau lebih mesra dengan panggilan Mira merupakan bekas peserta pertandingan Dewi Remaja 2019 dan pernah memulakan kerjayanya dalam bidang seni sebagai pengacara rancangan bual bicara yang ditayangkan di RTM.
Meskipun dirinya merupakan siswazah jurusan Pentadbiran Perniagaan tetapi minatnya yang mendalam terhadap bidang ini telah melayakkkan dirinya bergelar personaliti televisyen.
Saya memang minat menceburi bidang ini sebab masa uji bakat Dewi Remaja dulu, diorang ada tanya nak jadi apa. Memang saya cakap saya nak jadi pembaca berita.
Dalam pada itu, Syamira juga memasang impian untuk mempunyai program atau rancangan sendiri selain menjadi penyampai radio (DJ).
Selain menjadi penyampai berita Buletin TV9, Syamira turut terlibat sebagai pengacara bagi rancangan Nasi Lemak Kopi O.
Fahiz Ariff
Sementara itu, Fahiz atau nama lengkapnya Muhammad Sahrul Fahiz bin Mat Ariff mengakui sangat meminati bidang kewartawanan sejak di zaman sekolah lagi.
Disebabkan mahu memenuhi impiannya dalam bidang tersebut, Fahiz membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Komunikasi Media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Selepas tamat belajar, Fahiz menjalani latihan industri di Bernama sebelum melebarkan sayapnya sebagai wartawan, pengacara dan penyampai berita.
Saya memang dari sekolah dah minat jadi wartawan. Bila dekat rumah keluarga memang akan buka siaran berita dan saya akan mengajuk atau meniru apa yang wartawan buat contohnya seperti Karam Singh Walia, Haliza Hashim London dan ramai lagi.
Apabila ditanya mengenai khabar angin yang mendakwa dia memasuki bidang ini atas bantuan ‘orang dalam’, Fahiz menafikan sekeras-kerasnya sebaliknya menjelaskan kejayaan yang dicapainya ini adalah atas berkat usaha, bakat dan rezekinya.
Asrina Noor
Dikenali sebagai seorang yang introvert dan pemalu akhirnya bergelar penyampai berita Buletin TV9. Pemilik nama Nor Asrina Mohd Noor ini mengakui bukanlah satu perkara yang mudah untuk dirinya keluar dari ‘zon selesa’ namun disebabkan minatnya dalam bidang ini membuatkan dia berani mencabar diri untuk tampil di khalayak ramai.
Bila saya dah masuk bidang ni, saya kena ‘switch’ diri saya untuk tidak menjadi introvert. Sebenarnya memang susah sebab saya seorang yang sukar nak memulakan perbicaraan dengan orang lain tapi lama-kelamaan saya dah boleh sesuaikan diri dengan sebarang situasi.
Masa di universiti dulu pun, pensyarah ada nasihat jika betul saya nak masuk bidang ini, saya tak boleh jadi pendiam atau pemalu. Jadi dari situ, saya mula berubah sedikit demi sedikit.
Dalam pada itu, Asrina meluahkan rasa syukur kerana cita-citanya sejak berusia 6 tahun untuk menjadi penyampai berita akhirnya tercapai selain mengakui banyak ilmu yang dipelajari sepanjang menceburi bidang ini.
Asrina yang baru mendirikan rumah tangga pada Februari lalu mengakui statusnya sebagai isteri sama sekali tidak mengganggu kerjayanya malah suami yang juga bekerja dalam industri sama sentiasa memberi sokongan dan memahami tugasnya.
Sekadar info, Buletin TV9 merupakan siaran berita perdana terawal di Malaysia, bersiaran setiap hari pada jam 7 malam. Buletin ini menampilkan kandungan yang berbeza daripada berita arus perdana lain dengan mengetengahkan lebih banyak kisah komuniti dan tempatan yang dekat di hati rakyat Malaysia.