Minggu separuh akhir program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) yang berlangsung secara langsung di Studio NTV7, Glenmarie baru sahaja melabuhkan tirainya sebentar sahaja tadi.
Mariam terkandas
Selepas tujuh minggu beraksi di pentas CSOIAM, peserta Mariam terpaksa akur apabila tewas di pusingan ‘battle’ berentap bersama Jimi.
Pada pusingan ‘battle’ ini, Mariam mendendangkan lagu Jagalah Diri (Jaclyn Victor) dan Jimi membawa lagu Rahsia Tuhan oleh Noh Salleh.
Meskipun sudah memberikan persembahan yang terbaik, namun Mariam yang membawa lagu Di Pintu Syurga nyanyian Dayang Nurfaizah terpaksa akur apabila diumumkan tersingkir pada peringkat separuh akhir.
Walau bagaimanapun, Mariam menerima wang tunai berjumlah RM10,000 atas komitmen dan usahanya sepanjang berada di CSOIAM
Empat peserta ke final
Manakala empat lagi peserta iaitu Zazzleen, Marygrace, Kai Deva dan Jimi berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir demi merebut gelaran juara CSOIAM dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1 juta.
Pada minggu yang bertemakan Lagu Cerita Kita, Zazzleen membawakan lagu Sehati Sejiwa nyanyian Haslinda, Marygrace mendendangkan lagu Satu Harapan (Jaclyn Victor), Kai Deva menerusi lagu Srikandi Cintaku (Dato Awie & Mus May) dan Jimi membawakan lagu Sedetik Indah oleh Anuar Zain.
Walau bagaimanapun, kelima-lima peserta telah memberikan persembahan yang memukau dan cukup bertenaga. Nyanyian mereka turut menerima pujian dan komen membina daripada barisan juri tetap iaitu Ziana Zain, Datuk Yusry Abdul Halim, Cakra Khan serta juri jemputan, Shila Amzah.
Di samping itu, konsert minggu ini turut diserikan dengan persembahan penyanyi undangan Search dan Ade Govinda.
Untuk info, keputusan mingguan ditentukan berdasarkan gabungan 60% markah daripada juri profesional dan 40% undian daripada penonton yang bermula pada episod kedua sehingga episod kelapan.
Dihoskan oleh Fiza Frizzy dan Haniff Hamzah, program CSOIAM kali ini menampilkan juri tetap Ziana Zain, Yusry Abdul Halim dan Cakra Khan.
Saksikan setiap detik mendebarkan ini secara eksklusif di TV3, jam 9.00 malam setiap Ahad, atau strim secara HD di Tonton melalui laman sesawang rasmi TONTON.
Bagi undian pula, boleh ke www.tonton.com.my/calpissodaOIAMTV3.