Penyanyi dan personaliti Datuk Fazley Yaakob baru-baru ini membuat kenyataan yang menarik perhatian ramai di media sosial. Dalam hantaran di Instagram, beliau meminta suami-suami yang masih berkahwin agar tidak memberikan nasihat kepada duda-duda mengenai cara menjaga isteri.
Pandangan ini muncul selepas Fazley sendiri mengumumkan perceraian dengan bekas isterinya, Azrene Ahmad.
Fazley, yang juga seorang usahawan, menegaskan bahawa setiap perceraian adalah keputusan yang dibuat dengan teliti dan penuh pertimbangan.
“Kepada suami-suami yang masih berkahwin, tidak perlu memberi nasihat kepada duda-duda lain mengenai cara menjaga isteri. Nasihat saya, jagalah isteri sendiri,” tulisnya dengan nada tegas.
Dalam kenyataan tersebut, Fazley juga menyindir lelaki-lelaki yang seolah-olah berperanan sebagai ‘Pak Maon’ yang ingin memberi nasihat tanpa memahami situasi sebenar.
Beliau menambah, “Tidak perlu menjadi penceramah motivasi yang memberikan 88 tip kebahagiaan rumah tangga.”
Dengan pernyataan ini, Fazley menekankan bahawa setiap perceraian bukanlah keputusan yang mudah, melainkan hasil daripada pemikiran yang mendalam.
Selain itu, Fazley juga menyeru agar masyarakat memberi ruang kepada duda-duda yang telah melalui proses perceraian.
“Sudah menjadi suratan atau kebetulan ramai pula yang bercerai tahun ini. Berikan sedikit ruang kepada duda-dua juga, ya,” katanya. Pesan ini jelas menunjukkan rasa empati dan sokongan kepada mereka yang sedang menghadapi situasi sukar dalam hidup.