Perkongsian yang dimuat di sebuah akaun TikTok menggunakan nama @Datored dipercayai milik suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Seri Adnan Abu telah mengundang pelbagai reaksi wargamaya.
Cari kerja bayar hutang?
Menerusi hantaran yang dikongsikan, Adnan atau mesra dengan sapaan Datuk Red berkata dia dalam usaha mencari pekerjaan dan meminta bantuan mana-mana pihak sekiranya sudi membantu.
Misi mencari pekerjaan. Harap ada yang sudi.
Menurut Datuk Red, tujuan dia mencari pekerjaan adalah untuk mendapatkan wang bagi menyara keluarga dan melunaskan hutang.
Terima kasih semua. Saya nak mencari rezeki yang halal demi anak-anak dan membayar hutang.
Semoga tuan-tuan semua dimurahkan rezeki.
Dalam pada itu, Datuk Red turut memuat naik sekeping foto wajahnya yang diambil di dalam kereta.
Sementara itu, terdapat segelintir wargamaya yang berasa ragu-ragu dan mempersoalkan adakah benar akaun tersebut kepunyaan suami Adira.
Menjawab kepada pertanyaan itu, Datuk Red menerusi komen yang ditinggalkan di ruangan balas mengesahkan bahawa akaun atas nama @Datored adalah kepunyaanya.
Terdahulu, Laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan Adira dan suaminya Datuk Seri Adnan gagal mencapai kata sepakat untuk berdamai berhubung proses perceraian mereka.
Pada prosiding tersebut, Datuk Red tidak mahu menceraikan isterinya manakala Adira tetap berpendirian untuk berpisah. Mahkamah kemudian menetapkan kes dibawa ke peringkat Hakam pada 24 April 2024.
Imbas kembali, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun.