Datuk Seri Adnan Abu, seorang ahli perniagaan yang lebih mesra disapa sebagai Datuk Red, baru-baru ini memohon agar orang ramai mendoakan perancangan beliau untuk kembali memperisterikan bekas isterinya, penyanyi terkenal Adira, pada Aidilfitri tahun depan.
Hasrat ini timbul setelah mereka tidak pernah mengadakan majlis perkahwinan yang meriah sebelum ini.
Menurut Datuk Red, keinginan untuk berkahwin semula tidak dibuat secara tergesa-gesa. Sebaliknya, beliau mahu memberi fokus untuk menyelesaikan hutang terlebih dahulu.
“Kami sudah berbincang dan memaklumkan kepada abang Adira, minta jadi wali pernikahan kami nanti. Sebenarnya, saya sahaja tanya adakah Adira mahu kembali semula ke pangkuan saya?”
“Tak sangka Adira setuju dan minta majlis pernikahan dilangsungkan pada hujung tahun. Tapi, atas sebab tertentu, saya minta tangguh sampai Aidilfitri tahun depan. Jadi doakanlah semoga segala perancangan kami dipermudahkan.”
Mengulas dakwaan bahawa beliau memilih untuk kembali kepada Adira kerana ingin menumpang populariti bekas isterinya yang berstatus selebriti, Datuk Red menyangkal tuduhan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa beliau mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih Adira dan perkara itu tidak perlu dijelaskan kepada umum.
Tambahan pula, beliau tidak lagi berhasrat untuk memiliki dua isteri seperti sebelumnya kerana tanggungjawab tersebut bukan mudah.
“Bukan sebab Adira berstatus selebriti, jadi saya pilih dia. Masa untuk dipilih sudah berlalu kerana tempoh edah untuk kedua-dua bekas isteri sudah berakhir. Jadi, ini adalah masa untuk saya buat pilihan.”
“Ada sebab musabab kenapa saya memilih Adira. Saya sudah malas nak cari pengganti baharu dan mulakan semuanya dari bawah. Orang luar tiada dalam dalam kehidupan saya, jadi mereka tak tahu apa berlaku,” katanya.
Datuk Red juga menambah bahawa beliau tidak mahu mempersia-siakan peluang kedua ini, memandangkan usianya pun bukan muda lagi.
“Saya kena ubah cara hidup dan akan fokus pada keluarga dan kerja sahaja. Saya akan usaha untuk langsaikan hutang yang ada. Lagipun, bukan mudah hidup sendirian. Bila ada isteri uruskan hidup maka mudahlah sikit kehidupan,” jelasnya.
Untuk rekod, Datuk Red dan Adira mendirikan rumah tangga di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Bagaimanapun, ikatan perkahwinan sembilan tahun itu berakhir dengan penceraian pada 24 April lalu. Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 6; Asan, 5; Anggun, 4; dan Ayob, 1.