Pelakon Nadya Syahera memberitahu suaminya, Fizul Nawi kini aktif berniaga umpan ikan keli.
Jual umpan
Nadya berkongsi mengenai perkara tersebut di Instagram Story miliknya. Menurut Nadya, suaminya seorang yang suka pergi memancing. Oleh sebab itu, Fizul terlintas untuk meniaga umpan dan berkongsi rezeki dengan orang lain.
Ada yang tanya jual apa? Jual umpan keli. Fizul ni dia punya ketagih dengan memancing sukar dibawa berbincang. Dari zaman saya mengandung anak nombor dua sampai sekarang. Dua kali saya nak beranak. Mula-mula masa nak beranak Mamad dia tak ada dekat rumah sebab pergi memancing.
Kalut-kalut balik uruskan saya. Sama juga masa nak beranak Dik Bar dua tahun lepas. Jadi penyakit tu sampai sekarang. Jadi saya paksa rela akur dengan minat dia.
Sekarang Allah buka peluang rezeki untuk dia berniaga. Sebab umpan dia guna ni menjadi dan bawa balik hasil. Jadi dia kongsi sambil-sambil cari rezeki. Alhamdulillah.
Sebagai isteri, Nadya berharap perniagaan yang diusahakan oleh Fizul ini berjaya. Pada masa yang sama, suaminya boleh menyelesaikan segala yang tertunggak.
Semoga terus mengalir rezeki Fizul dan dapat dia lunaskan segala yang tertunggak. Terima kasih kepada mereka yang beri sokongan. Doa kami mewah rezeki selalu.
Terdahulu, Fizul Nawi tampil memberitahu bahawa dirinya pernah diisytihar bankrap, dua tahun yang lalu.
Ujar Fizul, dia mempunyai hutang mencecah ratusan ribu ringgit pada waktu itu. Berikutan daripada itu juga, dia terpaksa menjual segala aset yang ada untuk membayar hutang. Sebagai seorang suami dan bapa, Fizul bersyukur kerana isterinya masih bersabar dan bertahan sehingga ke hari ini.