Pelakon Diana Danielle memberi respon balas berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh suaminya, Farid Kamil ketika ditemu bual media, pada Rabu.
Dah beri Farid notis pindah rumah
Menerusi hantaran yang dikongsikan di Instagram, Diana atau nama lengkapnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, menafikan kenyataan suaminya yang memaklumkan mereka berdua masih berhubung seperti biasa.
Selain itu, Diana turut menjelaskan bahawa dia telah menghantar notis kepada suaminya itu agar segera berpindah daripada rumah memandangkan mereka bakal melalui proses perceraian dalam masa terdekat.
Kami tidak bercakap on the phone semalam. Dan saya sudah beri notis dalam Whatsapp untuk dia pindah rumah secepat mungkin kerana akan lalui process perceraian.
Tambah pelakon filem Imaginur ini lagi, dia juga berharap agar Farid menghormati keputusannya untuk tidak lagi tinggal sebumbung.
Saya tak akan benarkan hal yang tak pernah berlaku dikatakan berlaku, dan saya juga tidak mahu sebumbung lagi seperti yang sudah dimaklumkan sendiri kepadanya. Sila hormati.
Pada Rabu, Farid menjelaskan kemelut yang melanda rumah tangganya hanyalah berpunca daripada perselisihan faham kecil.
Terdahulu, Diana membuat pengumuman mengejutkan menerusi hantaran di Instagram dengan memberitahu bahawa dia akan bercerai buat kali kedua dengan Farid.
Terdahulu, selepas 11 tahun berkahwin, Diana dan Farid sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor menerusi Google Meet pada 10 Ogos 2023.
Bagaimanapun, pasangan itu kemudian rujuk semula dalam tempoh iddah. Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.