Walaupun dalam kontroversi yang panas, Ruhainies kelihatan masih mampu tersenyum dan menerima undangan untuk menghadiri pertunjukan koleksi terkini bagi sebuah jenama terkemuka.
Menerusi perkongsian sebuah portal fesyen dan gaya hidup di media sosial semalam, gambar Ruhainies yang mengenakan baju berwarna putih mencuri perhatian ramai di ruangan komen.
Rata-rata netizen menyuarakan rasa kurang senang dengan kehadiran pelakon itu serta memanggil untuk memboikot produk tersebut.
“Saya tidak berminat untuk melihat jenama anda seperti sebelum ini.
“Dia tidak layak untuk memperagakan jenama anda.
“Berhenti jemput Ruhainies dalam mana-mana acara. Tolong boikot dia. Susah sangat ke nak buat. Ramai lagi selebriti atau pempengaruh yang lebih layak.
“Saya tidak akan membeli produk ini disebabkan Ruhainies,” tulis beberapa warganet di ruangan komen.
Hantaran yang dimuat naik itu meraih lebih 629,000 tontonan dan menerima lebih 217 komen yang rata-ratanya bengang dengan kehadiran Ruhainies dalam acara itu yang difahamkan berlangsung semalam di Janda Baik, Pahang.
Dalam pada itu, susulan pendedahan yang dibuat oleh kekasih gelap kepada penyanyi Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine, Ruhainies nampaknya sudah bertindak meletakkan akaun Instagram miliknya dalam mod peribadi.
Kisah Ruhainies mula menjadi panas selepas didakwa ditangkap khalwat bersama Aliff oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu.
Kemudian awal minggu ini, Sarah mendedahkan beberapa perbualan romantis antara Ruhainies dan Aliff di aplikasi WhatsApp.