Penyanyi Datuk Awie memberitahu dia sudah memberi persembahan yang terbaik ketika menjayakan Konsert Awie Journey yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 3 Ogos lalu.
Push to the limit
Menurut Awie, bidang nyanyian merupakan periuk nasinya. Oleh sebab itu, dia sudah memberi yang terbaik serta ‘push to the limit’ pada hari konsert.
Ujar Awie, dia mengamalkan sesi latihan yang cukup sebelum melakukan konsert. Oleh sebab itu, rata-rata peminat masih terkejut yang dirinya boleh menyampaikan lagu-lagu bernada tinggi dengan baik tanpa menjejaskan sebarang mutu persembahan.
Sebelum sesuatu konsert, sesi latihan selama sebulan setengah atau dua bulan itu memang kena buat tanpa sebarang alasan. Sesi latihan sangat penting ibarat kita seorang pemain bola sepak yang perlu berlatih setiap hari.
Begitu juga dengan aspek vokal. Saya kena berlatih setiap hari supaya sentiasa bersedia jika sakit atau demam pun, Insya-Allah boleh buat menyanyi lagi.
Saya sentiasa cari masa untuk menyanyi sebab itu saya ada studio sendiri di rumah. Memang kena pegang mikrofon setiap hari kerana kerjaya saya menyanyi dan itu adalah satu tanggungjawab.
Jika tidak ada latihan, saya takut bila diminta menyanyi secara tiba-tiba, saya jadi kelam- kabut pula. Saya tahu menyanyi adalah kerjaya dan saya kena jagalah dengan baik.
Disoal sama ada puas hati dengan konsert solonya itu, Awie berkata, dia bersyukur kerana konsert solonya di Singapura dan Kuala Lumpur berjalan lancar dan mendapat sambutan.
Sebagai manusia kita memang tidak pernah puas dan mahu perbaiki lagi. Tapi saya sangat puas hati sebab Allah permudahkan segalanya dari segi suara, kesihatan dan sebagainya semua elok dan dapat disampaikan tanggung jawab dengan baik.
Ditanya mengenai perancangan akan datang, Awie menjawab, fokusnya selepas ini ialah kepada keluarga dan projek album bersama Wings.