Seramai tiga individu telah ditahan polis Indonesia selepas didakwa mencabul beberapa orang kanak-kanak bawah umur.
Cabul budak dengan umpan ais krim
Memetik laporan Detik.com, suspek dipercayai mengumpan mangsa dengan ais krim sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu. Perkara tersebut hanya terbongkar selepas mangsa yang berusia 8 tahun menceritakan kejadian tersebut kepada rakannya.
Rakan mangsa kemudian memberitahu ibu bapanya dan selepas perkara itu diketahui oleh orang dewasa, satu laporan polis dibuat.
Ternyata, bukan hanya seorang mangsa malah terdapat dua lagi mangsa berusia tujuh tahun telah dijadikan pemuas nafsu tiga individu tidak bertanggungjawab.
Semasa soal siasat, kesemua mangsa mendakwa tindakan jijik itu dilakukan oleh tiga suspek berbeza yang dikenali sebagai RH berusia 18 tahun, ST (42) dan SM (22). Difahamkan, ketiga-tiga suspek merupakan kenalan yang tinggal di satu kawasan yang sama. Perbuatan terkutuk itu berlaku di beberapa lokasi termasuk ladang kelapa sawit dan kediaman suspek.
Susulan daripada kejadian itu, ibu bapa dinasihatkan supaya memantau dan mengawal pergerakan anak-anak supaya mengelakkan daripada berlakunya perkara tidak diingini.