Pelakon popular Hong Kong, Donnie Yen kembali beraksi menerusi filem aksi terbaharunya, The Prosecutor.
Filem aksi
Donnie berkongsi bahawa dia menghabiskan masa berbulan-bulan untuk mendalami watak kerana filem tersebut adalah diinspirasikan daripada kisah sebenar.
Saya faham bahawa penonton sering kali mencari genre aksi yang lain dalam filem saya. Namun, cabaran sebenar adalah bagaimana cara menggabungkan elemen aksi komersial dengan naratif yang membawa makna besar dalam karya filem itu.
Proses ini memerlukan penelitian yang mendalam agar penyampaian yang saya bawa itu menyentuh hati penonton.
Selain menjadi bintang utama, Donnie juga menggalas tanggungjawab sebagai pengarah dan penerbit dengan mengambil masa satu setengah tahun untuk menyiapkan filem berkenaan.
Kehadiran saya bukan hanya di hadapan kamera, saya juga terlibat secara langsung dalam setiap aspek produksi.
Ini adalah cara bagi saya untuk memastikan bahawa semua standard kualiti diikuti dan kekuatan naratif dipelihara. Saya percaya ini adalah tanggungjawab seorang pelakon yang komited.
Saya juga berusaha untuk menghormati kisah yang diangkat dan cuba tidak menukar jalan cerita yang tersedia ada. Walaupun ia bukan sebuah dokumentari, saya berharap penonton akan merasakan keaslian dalam setiap babak yang dipaparkan.
Usia bukan penghalang
Meskipun sudah berusia 61 tahun, namun Donnie tetap mempunyai stamina yang baik dan masih mampu beraksi dengan cemerlang di hadapan kamera.
Walaupun ada kalanya saya berasa letih, namun cinta terhadap kerja ini membakar semangat saya. Saya ingin menunjukkan kepada semua orang bahawa semangat tidak mengenal usia.
Sementara itu, pelakon filem Ip Man tersebut meletakkan harapan yang tinggi agar filem ini dapat memberikan kepuasan kepada penonton dan menerima respons yang baik.
Dengan pasukan yang hebat ini, saya yakin kami mempunyai potensi untuk meraih kejayaan besar. Saya berharap penonton akan merasai kesungguhan dan usaha yang telah kami curahkan dalam menghasilkan The Prosecutor.
Kami telah berusaha keras untuk menghasilkan filem ini. Saya tidak sabar menantikan respons semua orang. Saya berharap The Prosecutor dapat memberi inspirasi dan menghiburkan penonton dengan cara yang berbeza.
Selain lakonan Donnie sebagai Fok Zi Hou, filem ini turut menampilkan lebih daripada 20 pelakon berbakat yang antaranya seperti Julian Cheung, Michael Hui, Francis Ng, Pak Hon Chu dan Kent Cheng.
The Prosecutor adalah sebuah filem yang berkisarkan tentang seorang lelaki muda miskin dituduh secara tidak adil atas kesalahan pengedaran dadah selepas diperdaya.
Seorang bekas pendakwa raya menyiasat kes tersebut dan mendedahkan terdapat rancangan sekumpulan peguam yang korup, dan dia mengembalikan keadilan walaupun menghadapi pelbagai halangan.