Hari ini merupakan hari yang sangat sedih bagi peminat lagu dangdut dan lagu rakyat apabila Raja Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau telah kembali ke rahmatullah pada pukul 4.46 petang di Hospital Teluk Intan, Perak.
Menantunya, Hassan Ahmad, telah mengesahkan berita tersebut dan memberitahu bahawa bapa mertuanya telah lama menderita dengan pelbagai komplikasi penyakit.
Kesihatan bapa mertuanya sangat tidak stabil semenjak dimasukkan ke pusat kesihatan sejak 12 Disember lalu.
“Beliau menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi, dan penyakit jantung. Berita terbaru, beliau dimasukkan ke hospital dan keadaan kesihatannya terus merosot sejak itu.
“Tiga hari yang lalu, keadaan beliau semakin teruk dan mula meracau. Kencing manis yang dihidapi semakin parah dan kronik,” katanya.
Menurut Hassan, doktor sepatutnya melakukan pembedahan memotong kedua-dua kaki namun tidak dapat dilakukan kerana tekanan darahnya tidak stabil.
“Ini kali ketiga pembedahan ditangguhkan kerana masalah yang sama,” ujarnya.
Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh, Perak selepas solat Zohor esok.
Sekadar info, Allahyarham M. Daud yang dilahirkan di Bagan Datoh, Perak, aktif dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada tahun 1968 dengan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.
Allahyarham M. Daud kemudian ditawarkan menjadi artis rakaman hingga menghasilkan banyak EP dan LP yang memuatkan lagu-lagu bergenre langgam, asli, dan dangdut.
Pada tahun 1985, Allahyarham M. Daud telah menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat dalam kategori nyanyian asli.