Pelakon Elfira Loy meluahkan rasa terkilan dengan tindakan segelintir individu yang merakam dan memuat naik video memperlihatkan jemaah yang meninggal dunia sewaktu menunaikan haji di Makkah, baru-baru ini.
Video jemaah haji meninggal
Menerusi hantaran di Instagram, Elfira menganggap tindakan tersebut tidak sewajarnya dilakukan kerana berasa risau akan menimbulkan fitnah.
Tak sangka tular video beberapa individu yang merakam dan kongsi video para syahidah yang meninggal ketika melakukan Haji. Pertama sekali, ia perkara yang tak baik untuk kongsi sesuatu seperti itu tanpa ditapis.
Video itu boleh mengundang fitnah dan juga membawa perkara negatif kepada para jemaah akan datang.
Menerusi hantaran sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut memuji pasukan perubatan Arab Saudi yang banyak membantu jemaah di Tanah Suci.
Saya telah memerhati situasi itu secara langsung dan saya juga telah menyaksikan dedikasi pasukan perubatan dalam usaha mereka untuk membantu.
Anda boleh mendengar bunyi ambulans yang kerap, bekerja keras untuk menyediakan penjagaan segera kepada jemaah haji.
Bukan itu sahaja, jalan raya dipenuhi trak makanan, mengagihkan makanan secara adil kepada semua jemaah haji, termasuk mereka yang tidak mendaftar haji.
Dalam pada itu, Elfira memberitahu pihak Arab Saudi juga mempunyai langkah kawalan yang ketat dengan mengguna teknologi AI untuk menganalisis jemaah.
Tahun ini, langkah kawalan mereka amat ketat. Mereka menggunakan teknologi AI untuk menganalisis dan merancang tindakan yang paling berkesan untuk jemaah haji.
Jadi, adalah penting untuk mengikuti prosedur yang betul supaya mereka boleh bersedia dengan secukupnya.
Menerusi posting itu juga, Elfira berkongsi beberapa video dia dilayan oleh petugas medik di sana yang menyemburkan air buat para jemaah sebagai satu cara untuk mengurangkan bahang panas.
Dia juga berkongsi gambar ambulans dan pasukan beruniform yang bertugas membantu jemaah dalam melaksanakan ibadah mereka.
Terdahulu, laporan Kementerian Luar Arab Saudi mendedahkan sekurang-kurangnya 550 orang jemaah telah meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji pada tahun ini di Makkah akibat cuaca panas terik sehingga menyebabkan bahang suhu melampau.
Susulan itu, tular beberapa video yang memaparkan mayat jemaah haji bergelimpang di bahu jalan dan dakwaan pihak berkuasa mengambil masa yang agak lama untuk menguruskan jenazah tersebut telah tular sehingga menerima kritikan netizen.