Pelakon Elisya Sandha gagal menahan air mata apabila mengingat kembali segala pengorbanan yang dilakukan oleh kakaknya iaitu aktres Fasha Sandha terhadap dirinya dan keluarga.
Imbau kenangan kecil
Ketika ditemui , Elisya, 25, berkata, Fasha akan sentiasa memastikan segala kemahuan dirinya dan keluarga dipenuhi.
Bila cakap fasal kakak, mesti saya rasa nak menangis. Dari saya kecil sampai saya besar, dia sentiasa ada untuk saya. Dia juga akan pastikan yang saya gembira. Tak ada kata yang dapat saya gambarkan tapi saya memang sayang kakak saya.
Biasalah waktu kecil kadang-kadang gaduh, macam tak bercakap, gaduh mulut, itu normal. Tapi dari saya kecil sampai besar, bila hari lahir dia tak pernah lagi tak buat saya gembira.
Saya memang tak boleh hidup tanpa kakak saya. Apa-apa yang jadi dalam kehidupan, saya akan kembali kepada keluarga dan kakak.
Elisya berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-25, di Sugar Milked Cafe, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dalam pada itu, Elisya turut mengimbau kenangan ketika masih kecil di mana dia meminta kakaknya untuk membelikan sebuah basikal.
Dia memang ada dengan saya, tapi paling saya ingat ketika masa kecil, keluarga saya bukan orang senang, apa saya boleh katakan Fasha yang banyak menyumbang kepada keluarga kami sampai saya dah besar, dan kerja saya pun sama-sama menyumbang juga.
Masa saya kecil, dalam lima tahun macam tu, saya tulis atas kertas ‘nak basikal boleh?’ dan saya selit bawa pintu bilik dia. Bila dia baca, kertas tu dia tampal dekat cermin bilik.
Setiap nota yang saya tulis, dia akan letak dekat cermin dia dan sampai sekarang dia masih simpan. Dia sangat sweet sebab dia hargai perkara-perkara kecil seperti itu.
Apa saja yang saya nak yang ibu bapa saya tak dapat nak berikan, Fasha adalah kakak saya yang akan cuba untuk dapatkan untuk saya.
Sementara itu, Fasha menganggap segala pemberian kepada keluarga merupakan rezeki yang sudah diatur Ilahi.
Bagi saya itu semua kenangan sebab dia membesar di depan mata saya. Setiap kali dia nak sesuatu, dia akan minta melalui kertas. Dia akan tulis, kalau ada rezeki, saya akan belikan untuk dia. Jadi nota-nota dan gambar semua tu merupakan kenangan yang tak dapat dibeli dengan wang ringgit
Tak pernah rasa bebanan sebab dalam rezeki saya ada rezeki untuk keluarga juga. Saya selalu fikir setiap rezeki yang dapat adalah berkat doa keluarga. Tanpa mereka, rezeki saya mungkin tersekat.
Bila kita belanja mereka, terdetik hati mereka kata murah rezeki kita, mungkin apa yang mereka doa itu, makbul. Sebab itu saya selalu fikir dalam rezeki saya ada rezeki orang lain juga.