10 tahun berjuang membina nama, Ernie Zakri mendedahkan susah untuk mendapat tajaan sewaktu dia masih tidak dikenali biarpun ketika itu sudah bergelar penyanyi dan memiliki beberapa buah single.
Zaman struggle
Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, berkata, dia tidak pernah mengharapkan sebarang tajaan dan sanggup berbelanja menggunakan duit sendiri membeli pakaian untuk kegunaan membuat persembahan.
Saya melalui banyak fasa dalam kerjaya dan ada kala kalau bercerita dengan suami saya akan sedih dan menangis, namun itu semua buat saya belajar.
Dulu tiada langsung yang nak sponsor. Saya dan ibu akan pergi tempat murah seperti Times Square dan Sungei Wang untuk beli baju. Beli tiga atau empat helai untuk show.
Malah, kalau ada photoshoot memang saya tidak pernah mengharapkan orang taja sebab tahu tak akan ada orang nak sponsor.
Sewaktu pertandingan Duo Star yang masuk dengan Syamel pun saya pakai baju sendiri, mana yang ada sahaja dipakai.
Ernie berkongsi mengenai perkara itu menerusi saluran podcast Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di YouTube rasmi Berita Harian Online.
Tambah pelantun lagu Korban itu, dia bagaimanapun menganggap momen itu sebahagian daripada perjalanan bermakna dalam karier seninya.
Biasalah, itu semua satu perjalanan yang saya belajar. Benda itu tidak perlu disimpatikan kerana sebahagian daripada kerjaya seni saya.
Apa pun saya bersyukur menikmati semua momen-momen tersebut dalam hidup saya.