Menerima jolokan Primadona Filem, aktres jelita Erra Fazira antara nama yang dicadangkan oleh orang ramai untuk menerima gelaran Datuk berikutan sumbangannya sebagai anak seni.
‘Itu adalah rezeki’
Ketika ditemui , Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek merasakan lebih ramai penggiat seni yang lebih layak untuk menerima gelaran tersebut.
Namun, Erra menghargai setiap pendapat dan pandangan orang ramai tentang pengiktirafan berkenaan.
Saya tidak mengambil pusing akan perkara itu sebab saya melihat sendiri ada ramai artis senior yang lebih layak kerana mempunyai jasa dan bakti untuk mendapat gelaran tersebut.
Pada saya itu adalah pendapat orang ramai dan terima kasih kerana sedikit sebanyak ia menjadi satu penghargaan untuk saya. Walaupun tiada gelaran, namun apa yang mereka fikir dan rasa, itu sangat bermakna buat saya.
Bagaimanapun, aktres berusia 50 tahun itu menganggap ianya sebagai satu rezeki andai dia diberi gelaran tersebut suatu hari nanti.
Itu adalah rezeki. Kalau ada rezeki Alhamdulillah. Kalau tak ada pun tak mengapa, saya jalani hidup seperti biasa. Tak perlu nak rasa stres.
Erra berkata demikian pada sidang media program Kilauan Emas yang berlangsung di Mid Valley pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, pelakon filem Soalnya Hati tersebut meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang untuk kembali menjadi juri bagi program tersebut.
Saya teruja apabila dipanggil semula untuk menjadi juri kerana Kilauan Emas adalah sebuah program yang berbeza dari program yang lain.
Ia merupakan sebuah program yang membuka peluang kepada warga emas untuk mengetengahkan bakat mereka.
Saya akan nilai dari semua aspek iaitu vokal dan persembahan.
Untuk info, seramai 12 orang peserta bakal berentap di pentas Kilauan Emas bermula 14 September ini. Program tersebut akan bersiaran di Astro Prima pada setiap Sabtu, jam 9 malam.