Siapa tak kenal dengan kumpulan Kru yang mempunyai tiga orang ahli dan mereka bertiga merupakan adik-beradik. Norman, Yusry dan Edry merupakan pencetus kepada perkembangan muzik rap dan hip-hop di Malaysia suatu ketika dahulu.
Antara lagu mereka yang popular adalah seperti Awas!, Jangan Lafazkan, Janji Tinggal Janji, Hanya Kau, Di Dalam Dilema dan banyak lagi.
Terdahulu, tiga beradik ini masih lagi aktif di dalam industri seni negara dengan mencipta lagu dan membikin filem-filem bertaraf antarabangsa. Ramai kalangan artis yang lahir di bawah KRU Studios.
Terkini siapa sangka perjuangan penyanyi dan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim di sebalik kostum Musang terhenti pada minggu suku akhir program The Masked Singer musim keempat.
Menyifatkan program berkenaan sekadar suka-suka dan bersifat komedi ringan, Yusry teruja apabila dapat keluar dari zon selesanya selama ini.
“Apabila menyertai The Masked Singer ini, saya memang tahu pertandingan ini sekadar suka-suka saja. Ibarat sekadar ‘test market’ dan seronok saja.
“Saya meletakkan sasaran saya hanya akan bertahan sehingga ke minggu keempat saja. Jangan tanya kenapa, cuma naluri saya mengatakan saya bertahan sehingga minggu keempat.
“Yang penting saya berpuas hati dapat membawakan pelbagai genre lagu, ada yang balada, ada rock dan rap. Mungkin ada yang beranggapan saya sudah biasa rap, sedangkan selama ini yang rap ketika bersama KRU adalah Norman dan Edry,” katanya.
Tidak terkilan gagal mara ke peringkat akhir, Yusry mengakui puas dapat memberikan sebaik mungkin sepanjang bertanding.
Bukan itu sahaja, apa yang lebih menarik bekas isterinya yang juga primadona jelita, Erra Fazira juga telah beberapa kali meneka bahawa pemilik suara kostum Musang ini merupakan bekas suaminya itu.
Ini kerana juri untuk program ini terdiri daripada Datuk Aznil Nawawi, Erra Fazira, Michael Ang, Angah, Nabila Huda, Zizan Razak, Sherry Alhadad dan Rozita Che Wan, manakala Datuk AC Mizal sebagai hos.
Untuk rekod, maskot-maskot yang masih meneruskan perjuangan adalah Sang Kancil, Roti John, Mat Helang, Teratai, Bunga Matahari dan Biskut Aiskrim.