Semua anggota kumpulan Exists masih memberi sokongan penuh terhadap rakan baik mereka iaitu Mamat meskipun vokalis kumpulan tersebut terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Takkan pernah serik
Ketika ditemui , pemain bass kumpulan Exists iaitu Musa memaklumkan bahawa Mamat kini berada di pusat pemulihan.
Exists mengakui bahawa mereka tidak pernah serik untuk mengundang Mamat bersama menjayakan persembahan, malah ketiadaan vokalis itu semenangnya dirindui oleh peminat.
Ketika ini Mamat sedang jalani proses pemulihan dan terputus hubungan dengan dunia luar. Tetapi, selepas itu kami rancang untuk libatkan dia mungkin di dalam konsert.
Kami pun tak akan pernah serik untuk mengundang dia ke konsert, malah penganjur dan peminat pun suka jika Mamat ada.
Kami tak pernah rasa jemu untuk beritahu peminat tentang Mamat. Itu juga seperti sokongan moral untuk Mamat. Maknanya masih ada yang menyokong dia walaupun dia sedang jalani pemulihan diri.
Exists berkata demikian semasa ditemui pada sidang media Konsert Rock Nostalgia yang berlangsung di Cornerstone IPC, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Ajai selaku pemain keyboard kumpulan tersebut berkata, mereka sentiasa memberi sokongan penuh terhadap Mamat walau apa pun keadaannya.
Dia sudah nampak banyak kebaikan. Bila kami dapat dengar dia sudah lepas daripada ‘benda itu’, kami pun berasa gembira.
Pada kami apa yang penting, kami ingin melihat Mamat pulih dan kembali kerana pentas adalah tempatnya.
Kalau mereka (peminat) pun menyokong, inikan pula kami yang sudah bersama daripada kecil.
Kami nampak Mamat bersungguh-sungguh untuk berubah kali ini.
Bagaimanapun, menurut Ajai, segala-galanya terletak pada Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin untuk menjauhkan dirinya daripada perkara negatif.
Mamat sekarang ini banyak juga berkongsi rasa keterujaan selepas menjadi datuk. Mungkin dengan kehadiran cucu-cucu menjadikan penguat semangat untuk dirinya berubah.
Apa-apa pun terserah pada Mamat. Kalau tuan punya badan sendiri masih tak nak berubah, kami pun tak boleh nak buat apa-apa. Tak boleh juga salahkan persekitarannya.
Untuk info, pada Julai lalu pelantun lagu Untukmu Ibu itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis Methamphetamine pada tahun 2019.
Rentetan itu, Mamat dikenakan hukuman denda sebanyak RM4,000.
Penyanyi berusia 47 tahun tersebut juga diarahkan menjalani pengawasan dua tahun di bawah Agensi Anti Dadah di Bentong, Pahang.