Pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail mendedahkan dirinya berasa terkejut melihat maklum balas yang diberikan segelintir rakyat Malaysia terhadap hasil rekaan pakaian yang dilakukannya untuk Miss Universe Malaysia 2024, Sandra Lim.
Terkejut tengok respon orang ramai
Ketika ditemui , Ezuwan berkata, dia menerima pelbagai jenis komen termasuklah kecaman daripada segelitir netizen selepas memuat naik gambar rekaan yang dihasilkannya dia media sosial.
Ada yang suka dan yang tidak. Mengikut kajian saya, perkara ini (kecaman) memang setiap tahun akan memang sering terjadi.
Ada saja orang tak puas hati meskipun mereka guna pereka fesyen yang berbeza.
Beberapa jam terawal memang ramai puji apabila gambar keluar tapi bila dah mula tular di platform lain misalnya di TikTok, komennya sudah bercelaru.
Bagi saya itu normal. Nak puas hatikan ramai pihak memang susah. Nak semua orang akan suka, mungkin citarasa mereka lain.
Ini kali pertama buat baju untuk ratu cantik. Memang sangat berbeza dengan kriteria hasilkan baju selebriti. Untuk ratu cantik lebih kepada visi dan personaliti di pentas pertandingan nanti.
Pereka fesyen berusia 42 tahu berkongsi perkara tersebut ketika sesi santai bersama pengamal media yang diadakan di butik pakaian miliknya yang terletak di Taman Dagang, Ampang pada Jumaat.
Walau bagaimanapun, pereka fesyen yang berpengalaman menghasilkan rekaan buat selebriti terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan dia sudah biasa untuk berdepan kecaman.
Pendekatan saya adalah tidak membaca komen-komen itu terutama yang tular dan negatif. Bila baca nanti saya mengalami kemurungan. Bukan kali pertama, sebelum ini saya sudah banyak kali kena kecam.
Apa yang penting adalah Sandra sendiri yang menyarung pakaian itu. Dia pun yakin dengan hasil kerja dan rekaan saya itu untuk bertanding kelak. Mana yang kurang kami bincang dan saya boleh tambah baik. Senang kerja dengannya dan cita rasa kami serasi.
Mana tahu dalam pada dikecam hebat, tiba-tiba rekaan saya jadi rekaan terbaik pula. Insya-Allah kalau ada rezeki, mana kita tahu.
Rasa bertuah diberikan mandat
Ketika ditanya apakah perasaan bekerjasama bersama Sandra, Ezuwan memaklumkan dirinya berasa begitu bertuah kerana diberi kepercayaan untuk menghasilkan tiga rekaan buat Organisasi Miss Universe Malaysia (MUMO).
Berkongsi pula mengenai reka bentuk bertemakan ‘National Costume’, Ezuwan memilih Puteri Walinong Sari kerana pihak MUMO dan Sandra mahukan imej pahlawan wanita yang begitu anggun dan dalam masa yang sama penuh dengan semangat wira.
Mereka hanya mahukan saya dan tidak mahu campur (design) dengan pereka lain untuk nampakkan nilai eksklusif saya itu.
Semua rekaan saya hasilkan dengan tangan sendiri termasuk kerawang agar rekaannya eksklusif dan penatahan butiran Swarovski.
Sebelum ini ada saja konsep pahlawan ditampilkan tapi Walinong Sari ini belum pernah.
Karakter pun sesuai dengan Sandra, tapi saya buat gubahan rekaan itu agar nampak lebih kontemporari dan komersial.
Penggunaan songket dan kerawang tebuk pula, elemen-elemen itu dapat terapkan pasal Malaysia.
Ramai juga komen rekaannya kelihatan seperti adiwira tapi bahagian bahu itu memang atas permintaan Sandra.