Pelakon baharu, Farhan Nordin tidak dapat melupakan momen pahit apabila hampir setahun tiada sebarang tawaran kerja selepas tersingkir daripada finalis program Hero Remaja 2021.
Perniagaan bertahan tiga bulan
Menurut Farhan, ketika itu adalah waktu penularan virus Covid-19, justeru peluang pekerjaan sangat sukar menyebabkan dia nekad menjual air kopi di tepi jalan bagi meneruskan kelangsungan hidup di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, bisnes itu hanya mampu bertahan selama tiga bulan kerana selepas itu khemah yang digunakan telah diangkut oleh majlis perbandaran.
Selepas program Hero Remaja tamat hampir setahun saya menunggu tawaran lakonan dan diakui kehidupan agak sukar waktu itu.
Jadi, saya dan beberapa orang rakan menjual air kopi demi mencari rezeki. Tetapi perniagaan hanya sempat berjalan selama tiga bulan sebelum khemah kami diangkut oleh majlis perbandaran.
Sungguhpun begitu, minat terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar dan anak kelahiran Johor ini berpeluang membintangi drama Cempaka Malaya di RTM pada tahun 2022.
Diakui dalam tempoh setahun saya agak kecewa dan rasa seperti tiada harapan untuk menjadi pelakon.
Tetapi sebab memang sudah minat, saya kerja apa sekalipun lakonan tetap di hati.
Demi meneruskan kelangsungan hidup Farhan, 26, kini merupakan pramugara Air Asia, tetapi dalam masa masih meneruskan impiannya sebagai pelakon.
Alhamdulillah, berkat usaha rezeki tidak pernah salah alamat. Saya bersyukur bermula awal tahun ini tawaran lakonan sudah mula ada dan saya pun memang serius mahu berlakon.
Saya berlakon bukan untuk glamor sebab kerja sebagai pelakon bukan mudah dan memenatkan. Namun, sebab memang saya minat saya tidak rasa penat.
Sempena sambutan Aidilfitri, Farhan bakal muncul dengan telefilem raya berjudul Kurung Kerawang Untuk Adik yang akan disiarkan pada raya ketiga di Astro Ria.
Dalam telefilem tersebut, Farhan yang juga bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) itu bergandingan dengan pelakon Syafie Naswip, Noorkhiriah, Hariz Hamdan dan Idzham Ismail.
Saya sangat teruja apabila dapat berlakon bersama-sama pelakon berkaliber. Walaupun pelakon seperti Syafie Naswip, Noorkhiriah dan Hariz lebih banyak pengalaman daripada saya, mereka tidak lokek berkongsi ilmu lakonan.
Disebabkan berlakon dalam drama ini adrenalin untuk aktif semula dalam dunia lakonan membuak-buak.
Wakil Malaysia
Selain lakonan, Farhan yang juga aktif sebagai model bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan Mr. Celebrity yang akan berlangsung di Vietnam pada September depan.
Saya mula menyertai pertandingan sebagai model bermula pada 2019 menerusi Mister Global seterusnya Hero Remaja dan Mr. Celebrity pada tahun lalu.
Walaupun saya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Mr. Celebrity, tetapi penganjur memutuskan untuk saya mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat dunia berentap dengan 36 buah negara di Vietnam.
Jelas Farhan, walaupun pertandingan yang disertainya ala ‘ratu cantik’ tetapi pertandingan tersebut banyak memberi manfaat kepada dirinya.
Jujur, menerusi pertandingan seperti ini saya belajar cara berkomunikasi, berjalan di pentas peragaan dan bagaimana membawa diri di tempat yang asing.
Semua ilmu ini saya gunakan ketika bekerja sebagai pramugara dan juga pelakon. Selain itu, pertandingan ini juga meluaskan lagi ‘networking’ dalam industri fesyen dan juga seni.
Apapun saya cuba yang terbaik dalam semua pekerjaan yang dilakukan kerana impian saya adalah menjadi seorang anak seni yang versatil.