Berhubung siasatan kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan tersebut.
Transaksi kewangan mencurigakan
Memetik laporan BH Online, transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pasukan siasatan setakat ini merumuskan terdapat transaksi akaun meragukan daripada sebuah syarikat (dikaitkan dengan pasangan pengasas FashionValet) dan beberapa pihak lain yang disiasat.
Kita juga berjaya mengesan beberapa transaksi kewangan mencurigakan. (Transaksi mencurigakan) ini bermula dari 2018 hingga 2023.
Tambah Azam, setakat ini pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Jelasnya lagi, bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen yang diperoleh itu.
Kita melihat kepada aliran punca kewangan dan sebab kemasukan dan ke mana wang itu dibelanjakan bagi melihat adakah terdapat unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.
Namun, kita percaya ada sebahagian pelaburan (diterima) yang disalahguna dalam hal ini, ini kita sedang kenal pasti.
Berbicara lebih lanjut, Azam memberitahu SPRM kini dalam peringkat mengesan barangan milik pasangan pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkan dalam media sosial sebelum ini.
Mereka perlu memberi kerjasama bagi mengenal pasti barangan yang ditunjukkan sebelum ini dalam media sosial.
Disoal sama ada pasangan itu akan ditahan ataupun tidak, Azam berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian buat masa ini kerana mereka memberi kerjasama penuh kepada SPRM.