Juri tetap Famili Duo 4 (FD4) iaitu Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor berpuas hati dengan keputusan yang berpihak kepada duo adik-beradik, Shiha dan Ieda Zikir apabila dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang wang berjumlah RM100,000.
Elemen Melayu
Menurut Mas Idayu, elemen Melayu yang dibawa dalam persembahan pada pusingan kedua oleh Shiha dan Ieda menerusi lagu ‘Mentera Semerah Padi’ ternyata memberi kelainan sehingga membuat bulu romanya berdiri.
Persembahan Shiha dan Ieda di final memberi kesan kepada saya. Persembahan pertama ada vibes antarabangsa dan persembahan kedua ada elemen Melayu.
Saya nampak kemelayuan dalam diri Shiha pada persembahan kedua, Melayu dia memang kuat. Vokal Ieda juga baik pada persembahan kedua.
Bulu roma saya sampai berdiri dan saya bangun beri standing ovation. Saya tak sangka persembahan mereka boleh mencuit hati saya. Persembahan itu melekat di hati. Pandai buat bulu roma juri berdiri.
Mas Idayu berkata demikian ketika ditemui di konsert akhir Famili Duo 4 yang berlangsung di Studio NTV7, Glenmarie, Shah Alam pada Ahad.
Pilih lagu tepat
Sementara itu, Rosyam turut memuji pemilihan lagu serta kareografi yang digunakan dalam persembahan duo adik-beradik tersebut.
Saya sendiri tak jangka Shiha dan Ieda akan sajikan persembahan sebegitu. Mereka memberi variati dalam persembahan pertama dan kedua. Terutama pusingan kedua mereka angkat elemen budaya, ada silat dan tarian Melayu itu memang hebat.
Mereka juga pandai memilih lagu dan kareografi yang kena dengan persembahan. Mereka juga ada keaslian atau originaliti dalam persembahan yang disajikan.
Dalam saingan peringkat akhir, Shiha dan Ieda telah menyampaikan lagu ‘Dokter Cinta’ di pusingan pertama yang bertemakan bebas.
Manakala, pada pusingan kedua iaitu tema duet vokal kumpulan, mereka telah menyampaikan lagu ‘Mentera Semerah Padi’.