Meskipun memperoleh markah paling tinggi daripada juri tetap, duo sepupu Ayie dan Salma akur apabila undian penonton tidak menyebelahi mereka sekali gus hanya berjaya dinobatkan sebagai naib juara Famili Duo 4 (FD4).
Kejuaraan dirompak?
Menganggap segala rezeki sudah tertulis, Ayie berkata, tidak wujud istilah kejuaraan ‘dirompak’ oleh sang juara iaitu duo adik-beradik, Shiha dan Ieda Zikir.
Kejuaran dirompak? Nombor dua bukan kalah. Tuhan sudah tulis rezeki untuk kami sekadar menduduki naib juara. Saya dan Salma sudah berikan seratus peratus apa yang kami ada.
Mungkin kami tidak berpihak kepada undian penonton. Kami juga sedar yang kami tidak mempunyai peminat yang ramai. Apa pun sudah berusaha yang terbaik.
Ayie dan Salma ditemui di konsert akhir Famili Duo 4 yang berlangsung di Studio NTV7, Glenmarie, Shah Alam pada Ahad.
Dalam pada itu, Salma berkata, dia menerima keputusan dengan hati terbuka.
Saya terbuka terima keputusan dengan hati yang terbuka. Rezeki juga buat Shiha dan Ieda berjaya jadi juara.
Berada di pentas akhir pun sudah saya anggap satu kemenangan untuk kami. Syukur alhamdulillah.
Berabis RM80,000
Sementara itu, disoal mengenai modal yang dilaburkan sepanjang lapan minggu bertanding, Ayie menjawab, mereka telah berhabis sekitar RM80,000.
Modal yang kami sudah habiskan sepanjang lapan minggu bertanding sekitar RM80,000.
Berbaloi atau tidak itu bukan keutamaan, yang penting adalah persembahan kami sampai kepada semua hati penonoton.
Terdahulu, duo adik-beradik Shiha dan Ieda telah dinobatkan sebagai juara FD4 sekali gus membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM100,000 beserta trofi.
Shiha dan Ieda memperoleh markah keseluruhan berjumlah 82.9, manakala Ayie dan Salma berjaya memperoleh markah sebanyak 79.5 sekali gus membawa pulang wang berjumlah RM30,000.
Sementara itu, duo sepupu Tomok dan Sharul Kamal sekadar menduduki tangga ketiga dan berjaya membawa pulang wang berjumlah RM20,000.