Pendakwah bebas, Firdaus Wong mencuri perhatian apabil berkongsi pengalaman dirinya sewaktu menghadiri majlis pernikahan sepupu sebelah isterinya menerusi hantaran di Instagram (IG).
Tok kadi buli pengantin?
View this post on Instagram
Menerusi perkongsian tersebut, Firdaus atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung mendakwa pasangan pengantin tersebut telah pun ‘dibuli’ dan mendapat layanan kurang baik daripada muazzin, imam serta saksi.
Ketika kejadian, Firdaus yang tiba bersama keluarganya sekitar jam 12.45 tengah hari telah disapa oleh jemaah masjid yang mengetahui bahawa mereka hadir bersama rombongan pengantin lelaki.
Isteri, ibu saudara (ibu pengantin), tetamu dan anak perempuan saya berada di luar ruang solat terpinga-pinga mencari di manakah tempat solat Muslimah sebab itu kali pertama di situ.
Tiba-tiba datang seorang lelaki tua menaiki motor lalu isteri saya ucapkan salam dan bertanya dengan nada yang sopan, ‘Pakcik, dimana tempat solat Muslimah ya?’
Tanpa sebarang provokasi, pakcik itu meninggikan suara, ‘Bukan sini, masuk kat situ. Ini ruang solat lelaki’.
Rupa-rupanya, dia muazzin masjid dan kemudian dia pula menjadi imam. Selepas solat Zohor, dia tanya kepada abang pengantin, ‘Ada apa?’ dan abang pengantin menjawab, ‘Ada akad nikah kejap lagi’.
Bagaimanapun, pakcik itu menafikan dan berkata (pernikahan) tiada dalam rekod. Tiba-tiba seorang lelaki masuk menyapa dan memaklumkan Tok Kadi akan datang selepas kenduri.
Selepas beberapa ketika menunggu, Firdaus memaklumkan jurunikah mula memunculkan diri tanpa sebarang kata maaf meskipun lewat tiba di majlis tersebut untuk urusan akad.
Tok Kadi melangkah masuk dalam jam 2 lebih. Lewat, tak ada minta maaf atas kelewatan tapi terus bagi tazkirah.
Bukan bagi tazkirah kepada pengantin tetapi kepada tetamu, antara yang disebut adalah semasa majlis berlangsung, tiada siapa pun boleh bersuara.
Selepas daripada itu, dia baca surah al-Isra 17:32 dan kemudian surah an-Nisa 4:1.
Kemudian Tok Kadi serahkan kad pengenalan pengantin lelaki kepada pakcik berkenaan, dia jadi saksi dengan lelaki yang halau perempuan.
Pada saat itu, sudah terdetik dalam hati saya berharap mereka tidak akan buli pengantin dan kebimbangan itu bertukar menjadi realiti apabila bertalu-talu soalan ditanya sedangkan ia sudah disoal kepada bapa raja sehari berkenaan.
Firdaus Wong kena marah?
Melihat kepada keadaan itu, Firdaus kemudiannya meminta jurunikah dan saksi untuk mempercepatkan majlis pernikahan namun mendakwa dirinya pula dimarahi kerana dianggap telah mengganggu urusan nikah.
Lebih parah, pihak masjid juga didakwa meminta ahli keluarga pengantin untuk membatalkan pernikahan tersebut dan lakukannya di pejabat agama sekiranya tidak bersetuju dengan cara yang digunakan.
Saya memangil abang pengantin yang bertindak sebagai jurugambar dan memintanya untuk memaklumkan kepada bapa pengantin perempuan suruh saksi itu berhenti buli pengantin lelaki.
Bapa pengantin perempuan mencuit saksi yang buli pengantin itu dan meminta supaya berhenti tanya soalan dan teruskan akad nikah.
Kemudian pakcik itu menyuruh semua orang bersabar dan masih bertanya soalan kepada pengantin dan meminta pengantin lelaki ulang lafaz nikah.
Saya terus menyampuk dan minta dia segerakan akad nikah tetapi dimarahi pula katanya sudah dipesan sejak awal tiada siapa boleh menyampuk sewaktu majlis sedang berlangsung.
Tambah pakcik itu, dia sudah 10 tahun uruskan acara seperti itu dan minta untuk keluarga pengantin batalkan pernikahan itu dan boleh terus ke pejabat agama jika mahu.
Islam ajar mudahkan urusan
Di akhir hantaran, Firdaus Wong menyatakan pendapatnya bahawa prosedur yang dilakukan oleh pihak masjid berkenaan adalah sama sekali tidak betul.
Tambah Firdaus Wong, ahli keluarganya juga akan membuat laporan dan aduan kepada jabatan agama berhubung prosedur yang dilakukan pihak masjid berkenaan.
Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah sempurna dan memudahkan untuk semua orang.
Adakalanya yang membuatkan agama Islam ini rumit dan hodoh bukan kerana ajaran Islam tetapi penganutnya yang baru sahaja diberikan sedikit kuasa tetapi suka menyusahkan orang lain.
Laporan akan dibuat kepada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah agar imej Islam tidak dicemari karakter pembuli seperti itu.