Seorang pelakon China yang dikenali sebagai Wang Xi atau Xing Xing, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdangan manusia selepas ditawar ke Thailand untuk penggambaran filem.
Menurut beberapa laporan berita, Wang Xi tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada Jumaat (3 Januari 2024) lalu. Kemudian pelakon ini pergi ke daerah Mae Sot, di barat laut Thailand, di mana semua hubungan taliannya terputus.
Memetik kenyataan Inspektor Jeneral Pejabat Polis Diraja Thai, Pol Gen Thatchai Peetaneelabut mendedahkan, seorang pemandu telah membawa Wang Xi dari lapangan terbang ke daerah Mae Sot. Apabila sampai di sana, pelakon itu dibawa oleh seorang lagi individu untuk merentasi sempadan semula jadi ke Myanmar.
Kawasan itu bersempadan dengan Myawaddy, Myanmar iaitu sebuah bandar yang dikenali sebagai hab untuk kompaun penipuan siber besaar-besaran.
Berita kehilangan Wang Xi ini muncul selepas teman wanitanya, Jiajia menyiarkan situasinya di Weibo. Jiajia berkata Wang Xi ditawarkan sebuah watak melalui seorang rakan yang didakwa bekerja dengan salah satu empayar terbesar di Thailand.
Wang Xi mempersoalkan kesahihan lokasi dan mahu tarik diri tetapi rakannya menegaskan sudah terlambat untuk cari pengganti serta memaksanya untuk pergi ke penggambaran.
Ketika ditemui, Wang Xi mendedahkan dia telah dikurung di sebuah kilang bersama kira-kira 50 warga China lain dan dipaksa untuk cukur kepala serta dipukul. Dia juga berkata dia “diminta untuk berlatih untuk menaip” dan dipercayai dipaksa bekerja di pusat penipuan.
Sekadar info, Wang Xi pernah membintangi beberapa siri TV dan filem popular China termasuklah ‘Ip Man 3’.