Penyanyi Hafiz Suip mengakui kesilapannya bertindak kasar dan tidak mengawal emosi berhubung insiden pergaduhan di atas jalan raya yang berlaku beberapa bulan lalu.
Kongsi cerita sebenar
Ketika ditemui , Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 34, berkata, insiden pergaduhan itu berlaku disebabkan oleh seorang pengguna jalan raya bertindak menyembur semburan pemedih mata kepadanya.
Cerita sebenarnya saya memang mengakui itu adalah kerana terlalu emosi, biasalah bila kita berada di atas jalan dan berlakunya provokasi. Saya rasa dia emosi juga.
Pada waktu itu sedang berlaku kesesakan jalan raya. Semua orang nak balik kerja. Dia keluar kereta sahaja terus spray. Itu yang menyebabkan saya jadi melenting dan terkejut.
Waktu itu, lelaki tersebut mengguna pepper spray buat mata rasa sangat pedih. Bayangkan kita makan cili tergosok mata pun pedih, cuba fikir apabila semburan itu tepat kena mata.
Hafiz berkongsi perkara itu ketika ditemui di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-39 (SFMM39) yang diadakan di Studio 1 NTV7, Glenmarie, Shah Alam pada malam Khamis.
Tempoh bon hukuman
Enggan memanjangkan isu, Hafiz memberitahu dia sudah pun memohon maaf kepada individu tersebut dan kes diselesaikan dengan baik.
Kata Hafiz, dia kini sedang menjalani hukuman bon berkelakuan baik selama enam bulan.
Saya akui salah saya juga, saya sudah pun minta maaf dengan individu terbabit. Alhamdulillah semuanya sudah diselesaikan dengan baik.
Sebenarnya perkara (kes gaduh) itu sudah selesai. Apa yang saya boleh katakan, sekarang ini saya berada dalam bon iaitu hukuman paling ringan bagi kesalahan tertentu.
Saya perlu berkelakuan baik selama enam bulan. Sekarang ini baru dua bulan, jadi saya kena jadi budak baik. Saya tak boleh terkait dengan segala kes keganasan dan sebagainya.
Saya tidak mahu memanjangkan cerita lagi dan saya aku kesilapan saya. Saya kena belajar juga untuk mengawal emosi marah, mungkin juga disebabkan faktor usia.
Pada 30 Ogos lalu, tular video Hafiz menumbuk seorang lelaki yang dikenali sebagai Goh Hui Heong di Jalan Padungan, Kuching, Sarawak.
Kejadian berpunca daripada salah faham apabila Goh membunyikan hon selepas Hafiz memberi isyarat memasuki jalan berkenaan.
Goh turut menghimpit serta memandu sehingga menghampiri kenderaan dipandu Hafiz sebelum berhenti di jalan berkenaan dan berlaku pertengkaran.