Tindakan pelawak dan usahawan Shuib memuat naik foto bersama rakan seindustri iaitu Mamat telah mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.
Terubat rindu
Menerusi hantaran di Instagram, Shuib berkata dia sudah lama tidak berjumpa dengan sahabatnya itu dan menyatakan tidak banyak perubahan berlaku pada wajah Mamat.
Lamanya tidak berjumpa, mukanya tetap sama.
Perkongsian tersebut sekali gus mengubat rasa rindu dalam kalangan peminat dan terimbau zaman kegemilangan Shuib, Mamat dan seorang lagi sahabat mereka iaitu Jep ketika bersama-sama dalam kumpulan Sepah.
Rata-rata netizen yang singgah ke ruangan balas turut berharap agar Shuib, Mamat dan Jep dapat membuat kemunculan semula sebagai trio.
Malah, netizen berharap mereka bertiga dapat melupakan sengketa yang pernah berlaku sebelum ini.
Okay next Jep. Kami semua rindu. Lupakanlah sengketa.
Yang seorang lagi tu tak teringin ke nak jumpa Shuib?
Rindu gabungan bertiga Shuib, Mamat dengan Jep.
Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Sekadar info, Sepah yang dianggotai oleh Jep, Shuib dan Mamat pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu selepas mereka menjuarai beberapa pertandingan lawak.
Bagaimanapun, didakwa berlaku salah faham antara mereka bertiga sehingga Mamat nekad meninggalkan kumpulan tersebut.
Nama Sepah kemudian ditukar kepada Sepahtu yang hanya dianggotai oleh Shuib dan Jep.
Pun begitu, tidak lama kemudian, Shuib didakwa terasa hati dengan Jep berhubung satu insiden sebelum dia pula bertindak keluar daripada Sepahtu.