Grup K-pop generasi baharu, xikers, yang bernaung di bawah KQ Entertainment, akan mengadakan konsert pertama mereka di Malaysia sempena siri jelajah Asia mereka. Konsert bertajuk 2025 xikers WORLD TOUR TRICKY HOUSE : FIRST ENCOUNTER IN KUALA LUMPUR ini akan diadakan pada 19 Januari 2025 (Ahad), jam 8.00 malam, bertempat di JioSpace, Kuala Lumpur.
Sejak debut pada 30 Mac 2023, xikers telah mencuri perhatian dunia K-pop dengan keluaran EP pertama mereka, HOUSE OF TRICKY : Doorbell Ringing. EP tersebut berjaya menduduki tangga No. 1 di carta Billboard Emerging Artists, No. 4 di Billboard World Albums, dan No. 75 di Billboard 200, yang menandakan kejayaan besar mereka. Mereka turut diberikan gelaran “monster rookies” berikutan sambutan hangat terhadap penampilan awal mereka.
EP kedua mereka, HOUSE OF TRICKY : HOW TO PLAY, mencatatkan pencapaian luar biasa apabila jualan album minggu pertama melonjak hampir dua kali ganda berbanding sebelumnya. Kejayaan ini diteruskan dengan jelajah dunia pertama mereka, TRICKY HOUSE : FIRST ENCOUNTER, yang mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri K-pop. Selepas jelajah di Australia, mereka kini bersedia untuk mengunjungi negara-negara seperti Bangkok, Kuala Lumpur, Macau, dan Jakarta.
Peminat xikers, dikenali sebagai roadY, boleh membeli tiket untuk konsert di Kuala Lumpur yang akan bermula pada 26 Disember 2024, jam 11.00 pagi di laman BookMyShow. Tiket dijual dengan harga RM696 (SVIP), RM596 (VIP), dan RM296 (GA).
Peminat juga berpeluang memenangi pelbagai faedah eksklusif, termasuk sesi Hi-Touch, foto berkumpulan, dan hadiah bertandatangan. Untuk maklumat lanjut, peminat boleh merujuk laman Facebook dan Instagram BoxLiveAsia.