Penyanyi dan pelakon terkenal, Harris Baba yang kini menempa nama dalam bidang penganjuran acara dan konsert bakal menampilkan bintang antarabangsa dari Amerika Syarikat iaitu Akon menerusi ‘Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore’ pada November depan.
Bakal gegar Malaysia & Singapura
Selepas berjaya menganjurkan lima acara utama di Sabah dan dua konsert band terkenal Indonesia iaitu Armada Band dan kumpulan Ungu dalam satu bulan, Harris menerusi syarikatnya Jeeharris Entertainment akan membawakan konsert tersebut buat para peminat di Malaysia bertempat di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 19 November 2024 manakala di Arena @ Expo Hall 7 Singapore pada 20 November.
Apa yang membanggakan ialah, syarikat naungan Harris bakal menjadi satu-satunya penganjur yang membawa persembahan Akon di Malaysia dan Singapura.
Sebenarnya, perancangan untuk membawa Akon sejak Disember tahun lalu dan membawa ke awal tahun ini. Jadi, ia mengambil masa tujuh hingga lapan bulan untuk memuktamadkan dengan ejen tempahan saya dan pengurusan Akon.
Terdapat begitu banyak perubahan dari segi jadual persembahan hingga akhirnya memutuskan pada November. Alhamdulillah, ini adalah satu kejutan yang besar dan benar-benar, rezeki saya.
Paling unik mengenai konsert Akon ini adalah saya satu-satunya penganjur yang melakukannya di dua negara dalam masa sebulan.
Sebelum di Malaysia dan Singapura, difahamkan dia akan membuat persembahan di beberapa negara Asia yang lain. Jadi, ia adalah sangat istimewa untuk syarikat saya yang bermula di Sabah, bukan di Kuala Lumpur.
Malah, artis antarabangsa pertama syarikat saya juga adalah Akon. Ini benar-benar nikmat yang besar, Alhamdulillah.
Kalau ditanya apakah yang mendorong saya untuk menganjurkan konsert Akon di Kuala Lumpur dan Singapura, bagi saya ia benar-benar rezeki dan sudah tentu dengan pasukan saya dan rakan kongsi yang mana kami sudah bekerja keras selama tujuh hingga lapan bulan terakhir ini. Kami sangat menantikan detik-detik ini nanti.
Tambah Harris, dia akan menggunakan pengalaman menganjurkan pelbagai acara sebaiknya bagi memastikan konsert ‘Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore’ ini berjalan dengan lancar.
Pengajuran konsert Armada Band dan Ungu bagi saya masih sebuah konsert yang sangat besar kerana ini kali pertama saya melakukannya.
Tapi, alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Jadi, ini sahaja pengalaman yang saya pernah ada selaku penganjur konsert. Dan untuk saya berkembang dan maju ke hadapan, maka ia adalah sesuatu yang baru yang perlu saya pelajari.
Itulah sebabnya mengadakan acara dan konsert bukanlah atas bahu saya seorang. Sebaliknya, kerja berpasukan yang betul dan kukuh. Jadi, dari pengalaman lepas sekarang kita naikkan skala dan buat pula artis ‘A Listers’ dari Amerika.
Harris rancang anjur banyak konsert
Dalam perkembangan lain, Harris merancang untuk membawa dan menganjurkan lebih banyak konsert hebat oleh artis ternama di Singapura dan Malaysia.
Setakat ini, satu-satunya artis antarabangsa yang saya bawa ialah Akon. Artis lain yang saya sudah berhubung dengan pihak pengurusan mereka dan saya akan menjanjikan senarai artis antarabangsa terbaik yang akan mengadakan persembahan sehingga tahun 2025.
Saya pasti peminat di Malaysia dan Singapura tidak sabar menantikan senarai artis antarabangsa yang akan kami bawa.
Saya juga sudah pun merancang yang mana sepanjang tahun depan, insya-Allah berharap semuanya berjalan seperti yang dirancang dan kami boleh membawa masuk ramai lagi artis ke Singapura dan Kuala Lumpur.
Jadi, buat para peminat Akon apa tunggu lagi! Dapatkan tiket konsert ‘Akon Live in Malaysia’ menerusi www.ticket2u.com dan ‘Akon Live in Singapore’ di www.sistic.com.sg
Penjualan tiket untuk menyaksikan konsert Akon di kedua-dua lokasi ini akan mula dibuka secara pra jualan pada 18 September, pra pendaftaran jualan pada 19 September dan untuk jualan keseluruhan pada 20 September.