Satu majlis makan malam amal yang diberi nama ‘Night Of Love & Compassion’ bakal dianjurkan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut Terengganu (TMESA) bagi mengumpul dana untuk membantu pelajar-pelajar kurang bernasib baik.
Gabungkan Hattan & Jamal satu pentas
Lebih menerujakan, acara yang bakal Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 14 Disember ini menggabungkan dua penyanyi lagenda tanah air iaitu Datuk Hattan dan Datuk Jamal Abdillah yang pastinya menjanjikan persembahan yang penuh jiwa menerusi rangkaian lagu-lagu mereka yang malar segar sehingga hari ini.
Menurut Presiden TMESA, Dato’ Muhammad Nasir Hamzah, persatuan ini amat mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar susah terutamanya di sekitar Besut.
Setiap tahun, kita adakan pelbagai aktiviti demi kesinambungan persatuan kerana asasnya adalah untuk membantu anak-anak di sekolah sekitar Besut khususnya Sekolah Tengku Mahmud.
Sepanjang dua dekad ini, dengan keringat ahli-ahli pencen ini sahaja, sudah tentu kami kekurangan modal.
Hasil perbincangan dengan ahli jawatan kuasa, timbul idea untuk mengadakan acara Night Of Love & Compassion’.
Tambah Muhammad Nasir, TMESA juga mahu meneruskan program ‘Sponsor A Student’ (SAS) yang kini telah membantu lebih 1000 pelajar yang rata-ratanya daripada kalangan keluarga daif.
Program utama dan terbesar kami adalah ‘Sponsor A Student’. Ia sudah berlangsung selama 16 tahun dan telah mambantu lebih 1000 pelajar-pelajar miskin.
Kami temu duga sendiri pelajar-pelajar ini. Ada yang hanya makan nasi tiga kali seminggu. Mereka sangat daif tatapi minat untuk belajar. Ada yang ingin menjadi doktor, peguam, guru dan ustaz.
Jika acara makan malam ini berjaya, kami menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM1 juta. Ia juga akan digunakan untuk membantu menambah baik kemudahan-kemudahan di sekolah.
Hattan & Jamal teruja
Sementara itu, raja pop tanah air, Datuk Jamal Abdillah mengakui berasa teruja kerana dapat terlibat di dalam program amal ini seterusnya menyumbang bakti agar pelajar-pelajar ini tidak tercicir dalam pelajaran.
Saya bersyukur kerana bakat kecil yang dikurniakan Tuhan ini dapat saya gunakan untuk mengumpul dana dan membantu orang-orang susah terutamanya pelajar sekolah.
Diharapkan dengan suara saya ini dapat manarik minat orang ramai untuk turut sama membantu usaha ini.
Dalam masa yang sama, penyanyi terkenal Datuk Hattan sentiasa menyokong penuh usaha amal seperti ini sejak mula berkecimpung di dalam dunia seni.
Saya berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada program ini. Ini bukan kali pertama saya terlibat dalam program amal untuk membantu murid sekolah.
Sejak dahulu, saya telah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak menolak jika ada undangan daripada pihak-pihak sekolah. Saya faham kerana saya juga pernah susah.
Orang ramai boleh membeli tiket bagi majlis tersebut pada harga RM15,000, RM10,000, RM8,000, RM6,000 dan RM4,000 bagi satu meja.