Selepas 21 tahun tidak melancarkan lagu solo, penyanyi Hazrul Nizam kini hadir dengan buah tangan terbaharu buat peminat menerusi single berjudul ‘Rawan’.
Selepas 21 tahun!
Hazrul yang juga penyanyi asal Singapura berkata, selepas lagu ciptaan Amylea Azizan itu dilancarkan di semua platform penstriman muzik termasuk YouTube pada 13 Oktober lalu, ‘Rawan’ menerima maklum balas positif pendengar.
Lagu ‘Rawan’ sudah ada di semua platform penstriman seperti Spotify, Apple music dan YouTube. Alhamdulillah penerimaan sangat memberangsangkan.
Ramai penyokong saya sangat suka lagu Rawan dan mungkin terubat rindu untuk saya keluarkan lagu solo selepas 21 tahun tiada lagu semenjak ‘Kaulah Segalanya’.
Alhamdulillah lagu ini dipilih untuk menjadi runut bunyi (OST) drama Satu Hari Nanti dibintangi Bella Astillah, Ezaidi Aziz dan ramai lagi terbitan Mache All Star United.
Pelakon gred A
Mengulas mengenai muzik video ‘Rawan’, Hazrul bersyukur kerana proses pembikinan dibantu oleh barisan pelakon hebat untuk menambah seri single tersebut.
Muzik video sudah dilancarkan pada 13 October lalu. Saya amat bersyukur kerana pelakon-pelakon legenda dan handalan sudi bekerjasama.
Antara yang terlibat Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Dato’ Rahim Razali. Muzik video ‘Rawan’ diarahkan oleh pengarah terkenal, Bobby Husaini dan diterbitkan oleh HMA Entertainment.
Untuk muzik video ini saya memang nak bercerita, bukan sekadar muka saya menyanyi dalam MV itu. Saya nak menceritakan sebuah situasi yang menggambarakan kehilangan diri kerana kalau cerita pasal cinta macam dah banyak lagu sebegitu.
Saya nak buat kelainan sikit dan Ahamdulillah apabila saya berkongsi idea dengan pasukan saya, Bobby, dia pun menambah idea mengikut kemahuan saya dan terciptalah muzik video ini.
Maksud ‘Rawan’
Berkongsi maksud di sebalik lagu ‘Rawan’, bekas peserta Gegar Vaganza 9 ini berkata, lagu itu menceritakan mengenai kehilangan yang boleh ditafsirkan dalam pelbagai maksud mengikut pendengar.
Rumusan lagu ‘Rawan’ ni menceritakan perasan pilu bercampur sedih. Seperti kehilangan. Tak kisah kehilangan orang tercinta, atau kucing kesayangan ataupun kehilangan diri sendiri.
Amylea adalah pengubah lagu ‘Rawan’ dan penulis lirik. Memang terharu bila dia sudi nak tuliskan lagu untuk saya.
Saya sangat tertarik dengan melodi dan lirik lagu ‘Rawan’. Saya memang suka lagu berentak balada atau galau begini dan menarik sekali, lagu ini boleh diinterpretasikan dalam pelbagai cara.
Bukan untuk yang patah hati kerana cinta sahaja, untuk yang kehilangan keluarga atau kawan termasuk kehilangan diri sendiri.
Lagu ‘Rawan’ boleh distrim di pelbagai platform seperti Spotify dan Apple music manakala muzik video boleh ditonton di YouTube menerusi saluran Alternate Records & Talents.
Peminat juga boleh mengikuti perkembangan semasa Hazrul dalam industri seni melalui saluran YouTube rasminya, Hazrul Nizam, Instagram dan TikTok, Hazrul Nizam.