Penyanyi rap terkenal Honey Singh baru-baru ini mencetuskan semula kontroversi selepas mengeluarkan dokumentari Netflix ‘Yo Yo Honey Singh: Famous‘.
Dalam dokumentarinya itu, Honey Singh telah membincangkan banyak perkara, termasuklah dakwaan mengenai dia telah ditampar oleh superstar Bollywood iaitu Shah Rukh Khan (SRK) semasa konsert di Amerika Syarikat.
Sekadar info, Honey Singh dan SRK berkolaborasi dalam lagu “Lungi Dance” dalam filem ‘Chennai Express’ (2013). Lagu itu menjadi viral dan popular dalam kalangan peminat.
Menceritakan hal yang sebenar, Honey Singh turut memberitahu SRK telah menjemputnya untuk melakukan lawatan bersama. Walaupun Honey Singh sangat sibuk, dia tetap bersetuju dengan tawaran aktor itu. Dan apabila mereka tiba di Chicago, dia diminta untuk buat persembahan walaupun tidak mahu.
“Apabila mereka bawa saya ke Chicago untuk persembahan itu, saya beritahu tak mahu lakukannya. Saya pasti mati semasa persembahan itu. Semua orang beritahu saya perlu bersedia, tetapi saya menolak. Pengurus datang dan dia bertanya kenapa saya tidak bersedia, saya balas tak akan pergi.”
Untuk melepaskan diri, Honey Singh mencukur kepalanya. Jadi apabila taktik itu tidak menjadi, dia mengambil cawan dan menghentakkannya di kepala. Kecederaan dan jahitan di kepalanya itu bukan daripada tamparan SRK tetapi dirinya sendiri.
“Seseorang telah memulakan khabar angin bahawa SRK telah menampar saya. Aktor itu menyayangi saya, dia tidak akan pernah mengangkat tangannya pada saya.”