Foto: Harian Metro
Seorang wanita dicekup berkhalwat dengan pasangannya oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) di sebuah hotel pada awal pagi Khamis.
Siap bawa dua anak bersama
Gambar sekadar hiasan
Memetik laporan Harian Metro, wanita yang merupakan ibu tunggal itu turut membawa dua anaknya yang berusia empat dan enam tahun untuk menginap di hotel berkenaan.
Menurut Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad, wanita berusia 41 tahun dicekup dengan pasangannya yang berusia 43 tahun sewaktu penguat kuasa melakukan operasi Op Kasih Sayang sempena Hari Kekasih.
Selepas disoal siasat, wanita itu mengaku dua kanak-kanak terbabit adalah anak kandungnya, manakala lelaki itu pula adalah teman lelakinya.
Pasangan itu ‘terkantoi’ selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan suami isteri atau mahram ketika disoal siasat.
Berikutan itu, mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan.
Pasangan tersebut walau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan selepas memberikan keterangan mereka kepada pihak berkuasa.
Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sekiranya didapati bersalah, setiap seorang boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali.