Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Mateen, iaitu Ismanira Abdul Manaf mencuri perhatian apabila berkongsi luahan hatinya selepas sekian lama mendiamkan diri menerusi hantaran di TikTok.
Serah pada Allah SWT
Menerusi hantaran yang dimuat naik, Ismanira memberi pesanan buat pemfitnah yang mendakwa dirinya terlibat dengan pembunuhan Zayn supaya bersedia menerima balasan daripada Allah SWT.
Menurut Ismanira, dia sungguh terkesan dengan fitnah yang dilemparkan terhadapnya dan suami dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.
Wahai pelaku, penganiaya, mahupun pemfitnah sekalian.
Sesungguhnya sudah aku adukan semuanya kepada penciptaku, sekarang urusanmu bukan lagi denganku tapi dengan penciptaku, Allah SWT.
Perlakuan dan perkataanmu menembus hati, semoga doa-doaku menembus langit.
Kalau kamu sudah hebat untuk menyakiti hati orang lain, berarti kamu sudah cukup kuat untuk menerima balasan dari-Nya.
Sementara itu, Ismanira turut berharap agar pelaku sebenar yang telah membunuh anaknya itu keluar dan mengaku salah atas perbuatan yang telah dilakukan terhadap anak syurganya itu.
Terdahulu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan pada 28 Jun lalu.
Ismanira dan Zaim walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Imbas kembali, 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.