Ifa Raziah, penyanyi berusia 49 tahun, baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas didakwa memperlekehkan kaum Iban dalam sebuah komen di media sosial yang mengundang kemarahan banyak pihak.
Komen tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna aplikasi Threads yang memuat naik tangkap layar daripada hantaran rakan usahawan selebriti itu di Instagram. Dalam komen itu, Ifa berkata, “Terkejut aku. Ingatkan perempuan Iban mana yang tersesat.”
Tindakan Ifa yang menyebut etnik Iban dengan cara yang disifatkan negatif itu segera mendapat perhatian dan kecaman. Pengguna di Threads mempersoalkan motif sebenar Ifa dalam menyebut etnik tersebut dengan nada memperlekeh. “Apa Ifa Raziah tu. Sengal,” tulis individu yang mendedahkan komen tersebut.
Reaksi netizen juga tidak kurang pedas, dengan ramai yang menyatakan rasa kecewa dan marah terhadap perbuatan Ifa. Beberapa komen menyebut bahawa meskipun Ifa terkenal dengan rupa dan harta, tidak sepatutnya beliau menghina orang lain berdasarkan latar belakang mereka.
Seorang pengguna menulis, “Seronok kak @ifa_raziah kutuk orang? Akak tahu tak orang yang akak hina tu kalau menyanyi lagi sedap dari akak tau. Muka diorang kalau makeup tipis pun sikit punya jauh lagi cantik dari akak.”
Selain itu, terdapat juga komen yang menegur Ifa agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan mengenai kaum Iban, dengan salah seorang pengguna memberi amaran, “Jangan main-main dengan bangsa Iban. Orang Iban sikit pun tak kacau kau. Jangan sesuka hati petik.”
Ada juga yang membela kaum Iban dengan menyatakan bahawa mereka semua cantik dan tidak layak dihina, dengan seorang pengguna menyatakan, “Perempuan Iban semua cantik, putih.”
Sehingga kini, Ifa Raziah belum memberi sebarang kenyataan mengenai isu yang tular ini atau memohon maaf atas keterlanjurannya.
Perkara ini terus menjadi perbincangan hangat di media sosial, dengan ramai yang berharap agar selebriti tersebut dapat lebih peka dan bertanggungjawab dalam setiap perkataan yang dilontarkannya.