Tahu tak korang bermula 1 Januari 2025 nanti, perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial perlu mendapatkan lesen di bawah kerangka pelesenan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),
Haa… korang yang aktif menggunakan media sosial wajib tahu mengenai kerangka pelesenan yang bakal dikuatkuasakan.
Tujuan kerangka pelesenan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang diperkenalkan MCMC
Untuk pengetahuan korang, langkah proaktif ini dibuat dalam menangani peningkatan kes jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian, judi dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Kerangka pelesenan ini dibuat untuk memastikan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan memohon Lesen Kelas Pemberi
Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.
MCMC juga sedang membangunkan kod tatalaku amalan baik yang mengandungi tatalaku dan tanggungjawab proaktif oleh penyedia perkhidmatan.
Kod tatalaku amalan baik yang dicadangkan akan meliputi langkah-langkah berkaitan perlindungan data pengguna, jaminan umur bagi menyekat pengguna di bawah umur daripada mengakses kandungan mudarat, menangani kemudaratan dalam talian dan menambah baik usaha penyederhanaan kandungan.
Platform media sosial manakah yang terlibat?
Secara umumnya, penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama termasuk tetapi tidak terhad kepada Facebook, Facebook Messenger, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram, WeChat, X dan YouTube akan berada di bawah kerangka pelesenan ini, tertakluk kepada penyedia perkhidmatan tersebut mempunyai sekurang-kurangnya lapan (8) juta pengguna di Malaysia.
Mesti lebih selamat untuk semua pengguna mengakses media sosial selepas ini!
Apa yang terjadi sekiranya kerangka pelesenan tidak dipatuhi?
Penyedia perkhidmatan yang tidak mematuhi kerangka pelesenan yang ditetapkan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Walau bagaimanapun korang tak perlu risau, sebabnya kerangka pelesenan ini hanya terpakai kepada penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria pelesenan dan tidak melibatkan pengguna biasa.
Sebaliknya, para pengguna bakal mempunyai persekitaran online yang lebih selamat dan proses aduan yang lebih mudah.