Pempengaruh dan penyanyi, Iqbal Zulkefli berharap orang ramai berhenti menjatuhkan hukum terhadap Fattah Amin dan Nur Fazura berhubung kes perceraian mereka.
‘Dua-dua ada khilaf’
Menganggap sudah ujian buat Fattah dan Fazura, Iqbal berkata, orang luar tidak berhak untuk menilai apa yang berlaku dalam rumah tangga selebriti itu sepanjang mereka bergelar suami isteri.
Malah, Iqbal turut berkata, ibu bapanya juga pernah diuji dengan perpishan selepas 30 tahun melayari bahtera perkahwinan.
Sudah-sudahlah buli Fazura dan Fattah. Kita lantang seolah yakin Allah tidak uji rumah tangga sendiri.
Apabila diuji sudah tentulah kedua-dua pihak ada khilaf, ada kekurangan, kelemahan dan sedang belajar.
Saya paling takut menilai rumah tangga orang lain. Takut Allah ‘ajar’ terus di dunia. Tidak diri sendiri, mak ayah kita.
Ibu dan ayah saya hampir 30 tahun berumah tangga dan dikurniakan zuriat lapan orang anak pun masih bercerai. Kita tak tahu bila Allah mahu uji.
Iqbal berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran di Instagram Story miliknya.
‘Berjuta makian dilemparkan’
Dalam pada itu, Iqbal berkata, meskipun ada khilaf dari kedua-dua pihak, namun tidak boleh sewenangnya untuk melemparkan kata-kata hinaan terhadap mereka.
Iqbal percaya, baik Fazura mahupun Fattah, masing-masing mempunyai peribadi yang baik.
20 tahun Fazura dalam industri, dia sangat menghormati orang, sentiasa senyum dan disayangi ramai.
Sekarang, apabila dia diuji, berjuta makian dilemparkan. Begitu tipis belas ihsan dan pendirian kita.
Sama juga dengan Fattah, dia baik orangnya. Andai benar ada khilafnya, jangan sampai kita mendera kehidupan orang lain.
Apa yang artis tunjuk di media sosial, hanya 10 peratus kehidupan mereka. Usah jadi seolah tahu semua perkara.
Justeru, Iqbal menasihati pengguna media sosial untuk menjaga tutur kata ketika meninggalkan komen terhadap Fattah dan Fazura.
Sedih lihat netizen kita. Bukan sedikit, berjuta komen tidak membina. Memberi komen memang santai, bukannya susah.
Malah, tidak meninggalkan kesan sedikit pun. Tetapi ingat, akan ada hari kita pun membuat kesilapan.