Gara-gara menghentikan program Hero Teladan, pempengaruh YouTube Isa Isarb menanggung kerugian yang besar manakala pekerja-pekerjanya juga turut terkesan.
Ia susulan program berunsurkan cabaran itu didakwa menempatkan peserta lelaki dan perempuan di bawah satu bumbung.
Hilang pekerjaan
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, kelihatan Isa dan pekerja-pekerjanya sedang duduk berbincang.
Difahamkan mereka sudah kehilangan pekerjaan susulan program tersebut terpaksa dihentikan.
Disebabkan projek berhenti serta merta, semua staf dibawah projek ini tak ada kerja. Kami akan ambil 100 peratus tanggungjawab.
Bagaimanapun, Isa atau nama sebenarnya Isa Batharul Zaman berkata, dia tetap akan mengambil mereka sebagai pekerja untuk projek yang baru.
Kita buat semula proses temu duga untuk salurkan mereka ke tugas-tugas lain dalam syarikat.
Doakan kami dapat lancarkan projek baru tak lama lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memberi kata-kata semangat kepada pempengaruh tersebut untuk menghasilkan konten yang lebih baik di masa depan.
Dalam masa yang sama, jika pempengaruh berusia 26 tahun itu mahu meneruskan program tersebut, warganet mencadangkan agar dia mengasingkan peserta.
Isa ni bijak dan profesional. Dia takkan berhenti di sini dan saya harap Isa akan comeback dengan semangat baru.
Tak apa, benda tak elok kena jauhkan. Apalah sangat duit kalau nak dibandingkan kemurkaan Allah.
Orang bukan tak setuju benda tu, tapi niat tak menghalalkan cara. Teruskan game tapi asingkan rumah antara lelaki dan perempuan.
Nak buat, buat lelaki sahaja tak payah campur dengan perempuan. Kalau nak ada perempuan juga, buat rumah asing-asing.
Terdahulu, meskipun kerugian lebih RM500,000, Isa mengambil keputusan untuk menghentikan program tersebut dan memohon maaf di atas kekhilafannya.
Sebelum itu, program tersebut dikecam gara-gara peserta lelaki dan perempuan ditempatkan di sebuah rumah yang sama. Warganet meluahkan rasa kurang senang kerana pergaulan bebas boleh berlaku di antara peserta.
Untuk info, Hero Teladan merupakan sebuah program cabaran di mana para peserta ditempatkan di dalam sebuah rumah yang dipenuhi kamera untuk mengawasi mereka selama 77 hari. Peserta yang mampu bertahan akan memenangi wang sebanyak RM40,000.