Susulan insiden terjatuh dari atas pentas Oktober lalu, penyanyi Ismail Izzani memberitahu tisu lutut kaki kirinya terkoyak dan mengambil masa tempoh enam bulan untuk sembuh.
Tisu lutut koyak
Dinasihatkan untuk berehat menari seketika, Ismail, 24, berkata, dia mengalami rasa sakit yang berpanjangan selama tiga minggu dan mendapati otot kakinya mengecil.
Ada masalah sedikit dekat lutut saya selepas insiden itu. Tisu lutut kaki kiri saya koyak. Doktor nasihat untuk saya berehat seketika daripada menari.
Sebab masih dalam tempoh pemulihan, sekurangnya enam bulan untuk pulih sepenuhnya.
Saya ingatkan tiada yang serius, tetapi selepas insiden tersebut masih rasa sakit selama tiga minggu lebih.
Saya lihat otot lutut kaki kiri saya lebih kecil berbanding otot kaki kanan. Benda itu sangat merisaukan.
Ismail berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di majlis sidang media The Imanpiano Experience 2.0 yang berlangsung di Aquaria KLCC, pada Isnin.
Bersenam
Dalam pada itu, pelantun lagu Sabar ini berkata, dia perlu melakukan banyak senaman untuk membantu proses pemulihan lututnya.
Saya perlu banyak buat latihan dan senaman untuk kuatkan lutut.
Saya juga akan buat pemeriksaan lanjut dalam masa terdekat. Tapi alhamdulillah segalanya masih dalam keadaan baik.
Pada 16 Oktober lalu, Ismail terjatuh dari atas pentas ketika membuat persembahan pembukaan untuk konsert Rema Live In KL.
Menurut ibu Ismail, Suliza Salam, pencahayaan di lokasi persembahan tersebut dan keadaan pentas berkemungkinan menjadi punca anaknya terjatuh.