Pengacara dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd. Noor, atau lebih dikenali sebagai Neelofa, telah mengundang keterujaan netizen dengan perkongsian beliau mengenai proses transformasi ke arah yang lebih baik dalam hidup.
Neelofa, yang berusia 35 tahun, mengungkapkan bahawa kunci untuk mencari jalan Allah adalah ilmu, selain dari memperkasakan diri untuk terus melakukan kebaikan.
“Hidayah itu datang kepada semua orang, tinggal lagi kita sendiri mahu rebut atau tidak sahaja. Istiqamah itu berat, ringan itu istirehat tetapi paksalah diri untuk terus berbuat baik. Carilah ilmu kerana ilmu itulah kunci kepada Hidayah,” ujarnya semasa menjadi hos jemputan program MeleTOP Moreh bersama Nabil.
Kehadiran Neelofa dalam program tersebut bersama Nabil telah meraih pelbagai respons positif dari netizen.
Melalui ruangan komen, banyak netizen menyatakan kagum terhadap perkongsian ilmiah Neelofa dan mengharapkan agar beliau kembali menjadi hos tetap program tersebut.
“Ya Allah, kagum betul dengan tutur kata Neelofa sekarang, sesuai jemput dia untuk bulan Ramadan ini, banyak perkongsian,” demikian komen seorang netizen.
“Mohon Neelofa kembali mengendalikan Meletop bersama Nabil, kimia dan keserasian kalian memang tidak perlu dibuat-buat, memang menjadi,” tambah seorang lagi.
Sebelum ini, pada tahun 2019, Neelofa telah mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan pengunduran dirinya sebagai hos selepas tujuh tahun mengendalikan program bual bicara infotainment, MeleTOP.
Neelofa memulakan pengacaraan MeleTOP pada 30 Oktober 2012 bersama rakan pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad. Kehadirannya dalam program tersebut telah menjadi satu ikon dan turut menyemarakkan wajah industri hiburan tempatan.