Sejak semalam, nama pelakon kacak Korea Selatan iaitu Kim Soo Hyun menjadi topik hangat di media sosial selepas dia didakwa sedang hangat bercinta dengan aktres, Kim Sae Ron.
Sedang hangat bercinta?
Kontroversi itu mula tercetus selepas Kim Sae Ron memuat naik satu swafoto bersama Kim Soo Hyun di Instagram Story (IG Story) miliknya. Difahamkan, aktres tersebut membuat perkongsian itu sekitar jam 1 pagi (waktu Korea) namun hantaran tersebut dipadam selepas 23 saat dimuat naik.
Susulan daripada itu, para peminat mula tertanya-tanya mengenai status pasangan selebriti itu sama ada mereka mempunyai hubungan yang istimewa atau ianya sekadar rakan kerja.
Terbaharu, agensi yang mewakili Kim Soo Hyun iaitu Gold Medalist menerusi satu kenyataan menafikan dakwaan bahawa pasangan selebriti itu sedang bercinta.
Foto-foto yang beredar dalam talian nampaknya telah diambil ketika mereka berdua berada di bawah agensi yang sama pada masa lalu, dan niat di sebalik tindakan Kim Sae Ron itu sama sekali tidak jelas.
Tambah wakil agensi lagi, pihak mereka akan mengambil tindakan undag-undang terhadap individu atau mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah sehingga boleh merosakkan imej dan reputasi Kim Soo Hyun.