Datuk Seri Siti Nurhaliza, ratu seni suara negara, mengambil inisiatif untuk menjelaskan kepada peminatnya mengenai detik-detik kontroversial di belakang pentas pada Konsert Sebuah Epitome – Saya Siti Nurhaliza bulan lalu. Klip video detik-detik itu menjadi viral dalam media sosial, menimbulkan spekulasi dan tafsiran yang berbeza.
Dalam penjelasannya yang dikongsi melalui Instagram, TokTi menekankan bahawa apa yang dilihat oleh orang ramai hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang sebenarnya berlaku di belakang tabir.
Beliau menegaskan bahawa momen tersebut tidak melibatkan kemarahan, sebaliknya hanya merupakan reaksi semasa menjalani persiapan teknikal.
“Momen di belakang pentas itu bukanlah tentang kemarahan. Saya hanya cuak atau cemas kerana situasi teknikal yang memerlukan ‘ear monitor’ saya dihidupkan segera sebelum saya memasuki pentas,” jelas TokTi
TokTi turut memuat naik video penuh yang menunjukkan konteks sebenar kejadian tersebut, dengan harapan untuk mengelakkan lebih banyak spekulasi yang tidak perlu.
Bagi beliau, penting untuk memahami bahawa dalam dunia pentas, aspek teknikal seperti ‘ear monitor’ memainkan peranan yang sangat penting kepada seorang penyanyi.
“Video penuh saya dimuat naik bukan untuk menunjukkan kemarahan, tetapi untuk memberi peminat peluang untuk melihat gambaran lengkap dan memahami konteks kejadian. Saya memahami bahawa peminat mahu melihat apa yang sebenarnya berlaku di belakang tabir,” tambahnya.