Pelakon meningkat naik, Erysha Emyra menjadikan kemenangan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABPBH36) menerusi kategori Artis Baharu Wanita Popular sebagai satu batu loncatan dalam kerjaya seni.
Rezeki Erysha
Erysha atau nama lengkap Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, berkata, dia bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan dan mengakui masih banyak perlu dipelajari untuk memperbaiki diri.
Alhamdulillah, saya pun tak sangka dengan rezeki yang dikurniakan. Cuma nak kata tahun ini adalah tahun saya, tidak lah sampai begitu.
Sudah pasti kemenangan di ABP menjadi satu batu loncatan juga kepada saya. Saya masih baharu dan banyak lagi perlu dipelajari untuk masa akan datang.
Erysha berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama terbitan Astro iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik di Zebra Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Berkongsi mengenai perkembangan terkini, anak kepada aktres Datin Seri Noniswara berkata, jadual kerjayanya sudah padat sehingga tahun 2025.
Jadual kerja alhamdulillah padat, sekarang sampai tahun hadapan. Saya adalah manusia yang tidak suka terlalu banyak masa lapang.
Nak kata seorang yang ‘workaholic’ pun tidak juga, saya amat menikmati semua masa yang saya ada.