Foto: Harian Metro
Seorang pempengaruh media sosial yang sebelum ini pernah mendedahkan kisah rumah tangganya menerusi siaran langsung di TikTok telah direman polis pada 5 Ogos (Isnin).
Pempengaruh ditahan pecah masuk rumah
Memetik laporan Harian Metro, wanita yang berusia 20-an itu direman selama enam hari sehingga 11 Ogos selepas didakwa memecah masuk rumah bekas suami dan bekas madunya di Kota Bharu, Kelantan pada 22 Julai lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, penahanan tersebut dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada bekas madu wanita itu.
Wanita itu menyedari rumahnya dipecah masuk dan mendapati sliding door (pintu gelongsor) hadapan dalam keadaan terbuka.
Beberapa barangan juga didapati hilang dan pengadu juga menjumpai satu beg plastik ubat di atas meja di dalam biliknya, tertulis nama perempuan yang dikenali olehnya dan suami.
Hasil siasatan mendapati terdapat kesan umpil pada pintu jeriji keselamatan dan pintu cermin hadapan rumah. Suspek juga mengaku telah masuk ke dalam rumah semasa ketiadaan bekas madunya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama enam hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, tular video rakaman siaran langsung di TikTok yang memaparkan dua wanita termasuk suspek mendakwa sering dikasari oleh bekas suaminya selain mendakwa dipaksa untuk melakukan perkara di luar batasan.