Penyanyi Dayang Nurfaizah meminta semua pihak untuk menghentikan spekulasi berhubung berat badannya yang didakwa semakin susut disebabkan sakit.
Takut jadi doa
Menerusi temu bual bersama Dayang memberitahu dia mempunyai berat badan yang ideal meskipun bentuk tubuhnya dikatakan semakin mengecil.
Kepada peminat Dayang, kalau betul sayangkan Dayang janganlah tulis komen tanya Dayang sakitkah? Bila perkataan (sakit) itu selalu disebut takut nanti jadi doa. Saya Alhamdulillah sihat walafiat.
Cuma, saya kurus sebab nak cantik dan gembira dengan penampilan diri. Berat badan saya sekarang 46 kilogram dan masih dalam kategori ideal. Saya sering buat pemeriksaan kesihatan dan setakat ini, keadaan saya baik-baik sahaja.
Tambah Dayang, dia mengamalkan diet, namun tidak keterlaluan.
Biasanya bila ada konsert besar, barulah saya akan jaga makan dan bersenam. Selepas selesai konsert, saya makan macam biasa. Saya jenis makan makanan dalam kuantiti yang sedikit, sama juga dengan mak dan kakak.
Dayang yang ditemui pada sidang media Konsert By Ajai & Mega di sebuah hotel, di Mutiara Damansara, semalam, turut berkongsi mengenai jadualnya sepanjang bulan Ramadan yang hampir tiba.
Ujar Dayang, dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada album yang bakal keluar tidak lama lagi.
Saya dah 75 peratus siapkan lagu untuk album baru. Bulan puasa nanti saya cadang nak selesaikan semuanya. Tapi kalau ada tawaran yang bersesuaian, saya akan terima.