Penyanyi rap yang kini berstatus wakil rakyat, Altimet bercadang mahu membantu meringankan beban pasukan Selangor FC (SFC) yang didenda Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Nak sumbang separuh royalti
Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini utk bantu bayar denda ni, jika SFC sudi. #SELANGORSAMPAIMATI pic.twitter.com/K7h5LhslXH
— Altimet.eth (@altimet) June 25, 2024
Menerusi ciapan yang dibuat di aplikasi X, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad memaklumkan dia mahu menyumbangkan separuh daripada royalti hartanya bagi membantu pasukan kesayangannya itu.
Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bantu bayar denda ini, jika SFC sudi.
Ciapan tersebut telah meraih perhatian ramai yang rata-ratanya menitipkan ucapan terima kasih buat pelantun ‘Kalau Aku Kaya’ itu.
Menjengah ke ruangan komen, ada juga dalam kalangan wargamaya yang menyuarakan keinginan mereka untuk turut menyumbang bagi meringankan beban pasukan SFC.
Terdahulu, SFC didenda sebanyak RM100,000 oleh MFL susulan ‘ketidakhadiran’ pasukan itu pada saingan Piala Sumbangsih menentang JDT pada 10 Mei lalu.
Keputusan untuk tidak hadir itu dibuat susulan kejadian menimpa pemain bintang mereka iaitu Faisal Halim yang disimbah asid pada 5 Mei lalu.