Pelakon Josiah Hogan memaklumkan dia kini dalam proses menyiapkan segala dokumen yang diperlukan untuk permohonan mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
Usaha dapatkan kewarganegaraan Malaysia
Ketika ditemui , pemilik nama Josiah Padilla Hogan, 39, mengakui mengakui bahawa proses permohonan untuk memperoleh status kewarganegaraan Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun begitu, dia menegaskan tidak akan sesekali mengambil jalan pintas atau menggunakan ‘pintu belakang’ semata-mata untuk mempercepatkan proses kelulusan permohonannya.
Masih lagi berusaha sebab saya tak nak menggunakan ‘pintu belakang’. Saya nak ikut proses yang betul seperti orang lain. Kalau saya kena tunggu pun tak apa cuma cabaran dia apabila saya kena bayar lebih kurang RM23,000 bila nak lepaskan status kerakyatan Amerika Syarikat (AS).
Tambah Josiah, sehingga kini dia masih belum menerima apa-apa surat kelulusan atau pengesahan daripada kerajaan berhubung permohonannya tersebut.
Saya tengah struggle lagi tapi buat masa sekarang saya masih belum dapat apa-apa surat daripada kerajaan tentang permohonan tu. Tapi macam saya minta surat sokongan daripada YB Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi Malaysia) untuk pastikan dokumen permohonan itu lengkap dan kemas.
Proses tu dah berada di peringkat akhir, cuma nak tunggu kelulusan dan pengesahan daripada kerajaan negeri.
Josiah berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi drama sempena Ramadan Raya yang berlangsung di Bandar Utama, pada Selasa.
Harap permohonan segera selesai
Dalam pada itu, Josiah juga menjelaskan terdapat beberapa faktor mendorongnya membuat permohonan tersebut selain berdepan kesukaran sekiranya ingin memulakan perniagaan di Malaysia.
Kalau saya tak dapat warganegara Malaysia pun hidup saya sama sahaja cuma mungkin berdepan kesukaran jika nak mulakan perniagaan atau membeli aset di tempat-tempat tertentu mungkin terbatas.
Kalau terpaksa mungkin saya akan berjumpa orang tertentu untuk rayuan atau sebagainya. Nak tak nak, permohonan warganegara ini perlu diselesaikan juga.
Permohonan ini sebenarnya perancangan B sebab kalau saya meninggal pun saya tak akan bawa status warganegara tu ke kubur.
Untuk rekod, Josiah dilahirkan di Amerika Syarikat dan dibesarkan di Malaysia sejak berusia tujuh tahun.
Josiah mendirikan rumah tangga bersama Nurul Hidayu Mohamed Nordin pada Mei 2013 dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Sebelum itu, Josiah pernah berkahwin dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 18 tahun.